oleh Netty Muhalizza binti Mohd Fadzil
MELAKA, 18 Mei – Perasmian Minggu Revolusi Bakti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM yang mewakili Naib Canselor UTeM menerusi pelaksanaan program kebajikan “HEPA Sayang Semua Bersama Alumni”.
Program tersebut merupakan satu inisiatif yang mencerminkan keprihatinan berterusan universiti terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa, khususnya dalam membantu pelajar yang memerlukan sokongan bagi meneruskan pengajian dengan lebih selesa.

Gambar 1 : TNCHEPA
Majlis turut menerima sumbangan daripada alumni UTeM, Encik Mohamad Firdaus Mohd Dahari yang juga Pengarah GWS Sdn. Bhd., sebagai tanda komitmen alumni dalam membantu mahasiswa serta menyokong keperluan pembelajaran mereka.
Dalam program berkenaan, sebanyak lima buah komputer riba dan 11 sumbangan food bank telah disampaikan kepada pelajar yang dikenal pasti memerlukan bantuan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM berkata, “Inisiatif ini bukan sahaja membuktikan komitmen Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dalam menyantuni kebajikan mahasiswa, malah turut memperkukuhkan hubungan erat antara universiti dan alumni dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan.”
Beliau berkata, usaha berterusan seumpama itu diharap dapat memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian selain memupuk semangat kebersamaan antara warga universiti dan alumni.
Pihak universiti berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban penerima serta menjadi pemangkin semangat kepada para mahasiswa untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajian.












