Oleh Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, BHEPA
Foto : Persidangan Kebolehpasaran Graduan KPT 2026 dan Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 / Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan BHEPA USM Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 24 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia memperkukuh peranannya dalam agenda kebolehpasaran graduan negara menerusi penyertaan dalam Persidangan Kebolehpasaran Graduan KPT 2026 dan Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada 20 Ogos 2026 yang lalu.
Bertemakan “Merapat Jurang, Melakar Peluang, Mencorak Graduan Masa Hadapan”, program tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia selaku universiti penyelaras.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, turut hadir menyaksikan peluncuran tersebut yang menjadi platform untuk memperkukuh ekosistem kebolehpasaran graduan melalui pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan tinggi, industri dan pemegang taruh.



PSKG 2026–2030 menggariskan hala tuju strategik bagi merapatkan jurang antara kompetensi graduan dengan keperluan industri, di samping memperluas peluang pembangunan kerjaya dan pendedahan kepada dunia pekerjaan bagi memastikan graduan lebih bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan masa hadapan.
Seiring dengan aspirasi tersebut, USM terus memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik melalui pengukuhan kemahiran insaniah, kepimpinan, komunikasi, keusahawanan, inovasi dan kesukarelawanan, selain memperluas pendedahan kepada industri serta pengalaman dunia sebenar.
Peranan USM dalam pembangunan PSKG 2026–2030 turut dizahirkan menerusi perkongsian oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Azizah Omar, yang bertindak sebagai moderator bagi slot terakhir persidangan bertajuk “Bersedia atau Tersisih? Menavigasi Pasaran Kerja Masa Hadapan”.
Azizah turut dilantik sebagai Penolong Ketua Pakar bagi Kumpulan Pakar dan Penulis PSKG 2026–2030 KPT, manakala Penolong Pendaftar Kanan PPP BHEPA USM, Cik Nur ’Aqila Badrul Hisham, terlibat sebagai Pembantu Penyelidik dalam pembangunan pelan strategik tersebut bersama ahli daripada universiti awam yang lain. Penyertaan USM dalam persidangan dan pembangunan PSKG 2026–2030 memperlihatkan kesediaan universiti untuk bergerak seiring dengan keperluan semasa, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan graduan yang kompeten, adaptif, berdaya tahan dan mampu mencipta nilai kepada masyarakat serta negara.
Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di https://hepa.usm.my/













