oleh : Anizan Md Noor dan Mohd Raizol Ramli
BATANG KALI, 11 September 2026 – Malang tidak berbau, namun bagi Siti Nur Shahirah binti Abdullah, ujian di tengah jalan tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk melangkah ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pelajar baharu Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Moral dari Fakulti Sains Kemanusiaan itu bersama keluarganya berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka mengalami kerosakan sewaktu dalam perjalanan menuju ke kampus bagi proses pendaftaran.
Terkandas di Batang Kali, kegelisahan keluarga ini bagaimanapun bertukar lega apabila Pasukan Kebajikan UPSI pantas bergerak ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat untuk menyantuni dan menghulurkan bantuan segera.

Anak sulung daripada lima beradik ini membesar dalam keluarga serba kekurangan. Bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala ibunya meraih rezeki tidak tetap dengan mengumpul barangan kitar semula. Namun, kesempitan hidup bukanlah alasan untuk Shahirah mengalah — beliau sendiri gigih bekerja sambilan serta menjalankan perniagaan kecil-kecilan demi menampung persiapan pengajiannya.
Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPSI, Puan Maskana Ahmad, menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa peka dan bertekad untuk memastikan tiada mahasiswa yang tercicir atau terbeban terutamanya sewaktu melangkah masuk ke alam universiti.
“Kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa adalah keutamaan tertinggi kami di BHEP. Apabila mendapat perkhabaran mengenai kesulitan yang dihadapi oleh Siti Nur Shahirah dan keluarganya, kami bertindak pantas kerana kami mahu beliau merasai bahawa UPSI bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi sebuah keluarga besar yang sentiasa ada untuk menyokong mereka.”
“Kami berharap bantuan kecil ini dapat memberi ketenangan fikiran buat beliau dan keluarga, sekali gus menyuntik semangat untuk beliau memulakan perjalanan akademik di UPSI dengan gembira dan berkeyakinan tinggi,” tambah beliau.
Menerusi inisiatif keprihatinan ini, UPSI telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan merangkumi bantuan rescue kenderaan rosak, penginapan pra-pendaftaran dan sajian makanan.
Langkah murni ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah menyemarakkan lagi iltizam Siti Nur Shahirah untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang pendidik.
“Menyantuni, Menguatkan Harapan, Melahirkan Masa Depan.”












