Oleh: Fakhruddin Faris Nazri
BESTARI JAYA, 26 Julai – Seramai 230 orang pelajar A-Level telah menjayakan program berimpak tinggi, Bengkel Building Resilience: Empowering Level A Students, anjuran Kolej Yayasan UEM (KYUEM) bersama Pusat Kaunseling UPSI bertempat di Great Hall KYUEM semalam.
Program interaktif berteraskan bukti seperti Teknik Tingkah Laku Kognitif (CBT) dan Psikologi Positif ini dipimpin oleh Ketua Tenaga Pengajar, Dr. Pau Kee, bersama barisan fasilitator berpengalaman termasuk En. Ahmad Shawi Bin Ahmad Shukri, En. Fakhruddin Faris Bin Nazri, dan dibantu oleh lima orang ahli Kelab Psychology First Aid.
Bermula seawal jam 8.30 pagi, peserta telah dibimbing menerusi lima modul komprehensif yang dirangka rapi bagi memastikan setiap pelajar mampu mengenal pasti punca tekanan dan faktor pelindung diri secara berkesan.

Menerusi pengisian bengkel tersebut, pelajar bukan sahaja diperkenalkan kepada konsep daya tahan melalui aktiviti pemecah bendul dan ‘Resilience Timeline’, malah turut diajar teknik pengurusan stres dan emosi secara praktikal menggunakan ‘Stress Bucket Exercise’.
Program ini turut memberi penekanan mendalam terhadap usaha mendidik pelajar membentuk minda pertumbuhan (Growth Mindset) menerusi perbincangan kajian kes, mencabar pemikiran negatif, dan melatih kemahiran penyelesaian masalah enam langkah. Menjelang akhir bengkel, setiap peserta berjaya membangunkan pelan tindakan daya tahan peribadi di mana mereka menyenaraikan kekuatan diri, sistem sokongan, serta melengkapkan aktiviti bermakna iaitu menulis surat kepada diri sendiri pada masa hadapan.
Objektif penganjuran bengkel ini ternyata mencapai sasarannya apabila rata-rata pelajar memberikan maklum balas yang amat memberangsangkan. Sebahagian besar peserta menyifatkan inisiatif ini sebagai satu program yang sangat bermanfaat, membuka mata, serta menyeronokkan berkat pendekatan penceramah yang disifatkan sangat berinspirasi.
Seorang pelajar turut berkongsi bahawa aktiviti-aktiviti interaktif yang disediakan sangat membantu mereka memahami konsep daya tahan dengan cara yang praktikal untuk menguruskan tekanan harian dengan lebih baik.

Menutup tirai program, Pusat Kaunseling KYUEM menitipkan pesan bermakna bahawa kebingkasan tidak bermakna seseorang itu tidak pernah merasai kegagalan. Daya tahan diri bermaksud kemampuan untuk bangkit setiap kali terjatuh dan bagaimana seseorang individu itu tumbuh menjadi lebih kuat selepas melepasi setiap cabaran.
Menerusi laungan kempen #StrongerMindsGreaterResilience, KYUEM terus komited merealisasikan matlamatnya untuk membina generasi pelajar dan pemimpin masa depan yang utuh, positif, serta berdaya tahan.












