Advertisement

UPSI Cipta Sejarah Anjur Kejohanan Kabaddi Antara Universiti Bertaraf Antarabangsa

oleh Mohd Raizol bin Ramli dan Mohd Hafiz bin Manaf

TANJONG MALIM, 17 Mei 2026 – Kejohanan sulung 1st UPSI Inter-University Kabaddi Championship 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang apabila berjaya menghimpunkan atlet dan pasukan dari pelbagai institusi dalam serta luar negara menerusi semangat kesukanan dan perpaduan budaya yang cukup luar biasa.

Majlis penutupan kejohanan yang berlangsung meriah itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Kabaddi Perak Tuan Prabakaran Maksvaran, dengan kehadiran barisan pegawai sukan universiti, jurulatih, atlet serta para penyokong yang membanjiri gelanggang pertandingan.

Pasukan wanita Thailand National Sport University muncul juara sulung kejohanan 1st UPSI Inter-University Kabaddi Championship 2026


Kejohanan anjuran Exco Inisiatif Sukan, Rekreasi & Kecergasan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu dilaksanakan dengan kerjasama Kabaddi Association of Malaysia, Persatuan Kabaddi Perak, Kelab Kabaddi UPSI, Pusat Sukan UPSI serta South East Asia Kabaddi Federation.
Penganjuran tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Perak, Starbucks, Hotlink dan Extra Joss sebagai penaja utama kejohanan.


Dalam ucapan aluannya, Pengarah Program, Sherraan A/L Kalahiahrasan menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran ini dan menyifatkan kejohanan ini sebagai platform terbaik dalam mencungkil bakat baharu serta memperkukuh jaringan persahabatan antara universiti dan negara melalui sukan Kabaddi.

Timbalan Pengerusi Persatuan Kabaddi Perak, Tuan Prabakaran Maksvaran, Pengarah Pusat UPSI, En Muhammad Faeez Muhamad Alias, bersama barisan pegawai teknikal, ahli jawatankuasa dan peserta-peserta pertandingan


“Saya sememangnya yakin pemain-pemain yang hadir dapat memberikan saingan sengit antara satu sama lain, platform ini juga merupakan satu permulaan baru untuk menggilap bakat dan mencari atlet Kabaddi untuk Negeri Perak dan kebangsaan,” kata Prabakaran dalam ucapan perasmiannya. Beliau turut berharap agar kejohanan seperti ini dapat diteruskan lagi supaya sukan Kabaddi diiktiraf dan berkembang seperti sukan-sukan yang lain.


Bagi kategori wanita, pasukan Thailand National Sports University muncul juara kejohanan selepas menampilkan aksi konsisten dan bertenaga sepanjang pertandingan. Pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula berkongsi tempat ketiga bersama, manakala KVT Wakaf Tembusu Terengganu muncul sebagai naib juara.

Perlawanan wanita Universiti Teknikal Melaka menentang Politeknik Sultan Azlan Shah


Kategori lelaki menyaksikan pasukan Thailand National Sports University turut merangkul johan kejohanan, diikuti pasukan UTeM dinobat sebagai Naib Johan, manakala KVT Wakaf Tembus Terengganu dan Multimedia Universiti (MMU) masing-masing menduduki tempat ketiga bersama.

Perlawanan Akhir Lelaki Thailand National Sports University menentang Universiti Teknikal Malaysia Melaka


Dalam pada itu, beberapa atlet turut menerima pengiktirafan khas atas prestasi cemerlang mereka sepanjang kejohanan berlangsung. Atlet Thailand, Diana Deesalarm dan Pootawun Poocahong dinobatkan sebagai Best Raider, manakala Thevatharshini dari UPSI dan Laksshmaman Thiagarajan menerima anugerah Best Defender. Sementara itu, Thanyalak Benrit serta Wisat Wuttari dari Thailand membawa pulang gelaran Most Valuable Player (MVP) kategori lelaki dan wanita.


Kejohanan ini menawarkan hadiah wang terkumpul sejumlah RM9,000.00. RM2,000.00 (Johan), Naib Johan RM1,500.00 dan ketiga bersama masing-masing menerima RM500.00 beserta medal, sijil dan trofi kejuaraan. Bagi anugerah khas pula, pemenang membawa pulang medal, mock cheque, dan hadiah tajaan daripada Starbucks Malaysia.


Penganjuran 1st UPSI Inter-University Kabaddi Championship 2026 bukan sahaja berjaya mengangkat sukan Kabaddi ke tahap lebih tinggi, malah membuktikan kemampuan UPSI sebagai hab penganjuran sukan antarabangsa yang mampu menyatukan budaya, bakat dan semangat kesukanan serantau.

Pengarah Pusat Sukan menerima penghargaan sebagai rakan kolaborasi kejohanan