Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan
Pauh Putra, 16 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan mahasiswa menerusi pelaksanaan inisiatif MySISWA Job on Campus (JoC), sebuah platform pekerjaan sambilan berstruktur yang memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman kerja sebenar sepanjang tempoh pengajian di universiti.

TUANKU Syed Faizuddin (enam dari kiri) sempurnakan penyerahan surat tawaran MySISWA Joc UniMAP di Kampus Alam Pauh Putra
Sebagai simbolik sokongan terhadap pelaksanaan program tersebut, penyerahan rasmi surat tawaran kerja kepada pelajar yang layak telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP sempena Perlis International Engineering Invention & Innovation Exhibition (Pi-ENVEX) 2026 yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Pelaksanaan MySISWA JoC UniMAP adalah selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh pembangunan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membantu mahasiswa menangani cabaran kos sara hidup melalui peluang pekerjaan sambilan yang fleksibel, tersusun dan berimpak tinggi di dalam kampus.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada mahasiswa, malah menjadi platform pembangunan bakat dan pembentukan nilai profesional dalam kalangan pelajar.
“UniMAP melihat MySISWA Job on Campus sebagai satu medium penting dalam melahirkan graduan yang lebih kompetitif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi alam pekerjaan sebenar. Melalui pengalaman kerja yang diperoleh di kampus, mahasiswa dapat memperkukuh kemahiran insaniah, meningkatkan disiplin kerja serta membina keyakinan diri sebelum melangkah ke industri,” katanya.
Menurut beliau, menerusi inisiatif tersebut, UniMAP membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa melalui pelbagai kluster termasuk pentadbiran dan operasi, perkhidmatan, teknikal, project-based/profesional serta keusahawanan.
Antara program yang diperkenalkan ialah MySISWA JoC@BrewLab dan MySISWA JoC@KioskHub yang memfokuskan kepada pembangunan keusahawanan dan pengurusan operasi perniagaan kampus, MySISWA JoC@FoodBank yang menyokong agenda kebajikan mahasiswa, serta MySISWA JoC@UniParcel yang memberi pendedahan kepada pengurusan logistik dan perkhidmatan pelanggan.
Selain itu, UniMAP turut memperkenalkan MySISWA JoC@InclusiveBuddies bagi memperkukuh sokongan inklusif mahasiswa, MySISWA JoC@SupportCrew dan MySISWA JoC@CampusEventTeam yang memberi pengalaman dalam pengurusan operasi serta pelaksanaan program universiti, di samping MySISWA JoC@DigitalCreative yang memfokuskan kepada pembangunan bakat kreatif digital, media dan penghasilan kandungan kreatif selaras dengan perkembangan industri digital semasa.
Dalam usaha memperluaskan lagi skop program berkenaan, UniMAP juga akan merealisasikan hasrat Raja Muda Perlis untuk mewujudkan MySISWA JoC@SportHealth yang dijangka memberi peluang kepada mahasiswa terlibat secara aktif dalam pengurusan kesihatan, kecergasan dan aktiviti sukan kampus secara lebih profesional dan sistematik.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) UniMAP, Dr. Nor Faizah Binti Bawadi berkata, pelaksanaan MySISWA JoC memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran kebolehpasaran mahasiswa melalui pengalaman kerja sebenar yang lebih tersusun dan menyeluruh.
“Program MySISWA Job on Campus bukan sahaja membantu mahasiswa menjana pendapatan sampingan, malah menjadi medium latihan awal kepada pelajar untuk membina kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan masa, kerja berpasukan serta etika profesional yang amat diperlukan oleh industri masa kini,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 500 orang pelajar menerusi pelbagai peluang pekerjaan di dalam kampus melibatkan bidang perkhidmatan, penyelenggaraan, pengurusan Dapur Siswa, pemasaran, pengurusan acara universiti, perkhidmatan kreatif dan pelbagai lagi sektor berkaitan.
Dalam masa yang sama, Dato’ Prof. Dr. Zaliman turut menyambut baik pelbagai inisiatif kebajikan mahasiswa yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi seperti Dapur Siswa MADANI, Menu Kasih Siswa, Bank Makanan serta bantuan kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilihat mampu membantu meringankan beban mahasiswa secara menyeluruh.
Menurut beliau, pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan kesejahteraan mahasiswa membuktikan komitmen berterusan kerajaan dan institusi pendidikan tinggi dalam menyediakan persekitaran kampus yang lebih inklusif, prihatin dan kondusif kepada pelajar.
“UniMAP akan terus komited memperkukuh kerjasama strategik bersama industri dan pelbagai agensi bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan teknologi, malah memiliki pengalaman kerja, nilai kepimpinan, kreativiti dan kebolehpasaran yang tinggi selaras dengan keperluan industri serta aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Melalui sinergi erat antara universiti, industri dan kerajaan, UniMAP optimis pelaksanaan MySISWA Job on Campus mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan negara serta melahirkan graduan holistik yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.












