Oleh: Nurulaini Muhiyuddin
SHAH ALAM, 24 November 2026 – Usaha membina komuniti kampus yang sihat, seimbang dan berdaya tahan terus diperkasakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi penganjuran Karnival Kesejahteraan UiTM dan Hari Bertemu Pelanggan Persatuan Pelajar 2026 yang menarik kehadiran lebih 1,500 warga universiti.
Program selama dua hari bermula 23 November itu berlangsung di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Mawar, UiTM Shah Alam, dengan mengetengahkan kepentingan kesejahteraan holistik merangkumi aspek kesihatan mental, fizikal, emosi dan sosial.

Bertemakan “Move for Wellbeing: Mental & Physical Wellness”, program ini merupakan inisiatif kolaboratif Pusat Psikologi dan Kaunseling, Pusat Kegiatan Pelajar, Pusat Sukan dan Pusat Kesihatan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi berkata, agenda kesejahteraan mahasiswa merupakan antara fokus utama JHEP menerusi agenda Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU), termasuk pelaksanaan inisiatif seperti Sporting Campus dan Purple Walk bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa.
“Ukuran kejayaan sesebuah universiti bukan semata-mata pada kecemerlangan akademik mahasiswanya, tetapi juga keupayaan melahirkan insan yang sihat, seimbang dan berdaya tahan. Kesejahteraan mahasiswa merupakan asas penting kepada pembentukan generasi pemimpin masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Roslinda Mohd Subbian, Pengarah Pusat Psikologi dan Kaunseling UiTM berkata, usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental perlu disertai dengan pembentukan ekosistem kampus yang positif dan saling menyokong.
“Kita mahu membina budaya kampus yang menjadikan penjagaan kesejahteraan diri dan keberanian mendapatkan bantuan profesional sebagai satu kebiasaan. Mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya merupakan langkah penting dalam membina ketahanan diri,” katanya.
Sebanyak 52 reruai pameran disediakan sepanjang karnival, melibatkan 40 persatuan pelajar dan 12 pempamer daripada pelbagai agensi serta organisasi, antaranya MENTARI Klang, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Talian Sahabat Selangor dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).

Penglibatan pelbagai agensi ini membuka peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan khidmat nasihat secara langsung, mengenali perkhidmatan sokongan yang tersedia serta memperluas jaringan sosial dan pembangunan diri.
Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian “Wellness 360” dan “Never Too Late To Seek Help” yang memberikan pendedahan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan menyeluruh serta keberanian mendapatkan bantuan profesional.
Forum bertajuk “Varsiti ke Dunia: Wira di Atas Padang, Pejuang di Dewan Kuliah” pula mengetengahkan kepentingan keseimbangan antara kecemerlangan sukan dengan pencapaian akademik.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Mohd Sazili yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Video Pendek sempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat UiTM 2026 dan Pertandingan Reruai Terbaik Persatuan Pelajar.

Dalam pertandingan video pendek, UiTM Kampus Jengka muncul juara menerusi karya “Kaunseling Era Digital: Memacu Kesejahteraan”, manakala UiTM Eco Photon Solar Racing Team meraih tempat pertama bagi Pertandingan Reruai Terbaik Persatuan Pelajar.
Penganjuran karnival ini memperlihatkan komitmen berterusan JHEP UiTM dalam menjadikan kesejahteraan sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan kampus, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa yang menyeluruh, inklusif dan mampan.












