Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi
SHAH ALAM, 25 November 2026 – Tiga malam penuh aspirasi, persaingan idea dan gagasan kepimpinan mewarnai Malam Rapat Umum Mega sempena Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Sesi 2026/2027.

Berlangsung dari 23 hingga 25 November 2026 di Dewan Cendekia, program yang dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP) UiTM Shah Alam itu menghimpunkan calon daripada 15 fakulti dan akademi dalam usaha meraih mandat serta kepercayaan warga mahasiswa.
Pentas demokrasi tersebut menjadi medan bagi setiap calon memperkenalkan diri, membentangkan manifesto serta mengetengahkan gagasan dan hala tuju kepimpinan masing-masing.
Pada malam pertama, rapat umum melibatkan calon daripada Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Alam Bina, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi serta Fakulti Muzik.
Persaingan diteruskan pada malam kedua dengan pembentangan manifesto calon daripada Akademi Pengajian Bahasa (APB), Fakulti Kejuruteraan Kimia, Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Fakulti Sains Komputer dan Matematik.
Kemuncak rapat umum pada malam ketiga pula menyaksikan penampilan calon daripada Fakulti Undang-Undang, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Fakulti Perakaunan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik serta Fakulti Kejuruteraan Awam.
Manifesto bukan sekadar janji

Lebih daripada sekadar pentas berkempen, rapat umum menjadi medan interaksi antara calon dengan mahasiswa dalam membincangkan isu kebajikan, pembangunan serta kepentingan komuniti kampus.
Mahasiswa berpeluang meneliti setiap manifesto, menilai kewibawaan calon serta mempertimbangkan sejauh mana perancangan yang dikemukakan mampu dilaksanakan sepanjang tempoh kepimpinan mereka.
Dalam konteks ini, keupayaan calon bukan sahaja dinilai berdasarkan keberanian berucap dan ketokohan di pentas, malah kemampuan memahami permasalahan mahasiswa serta menawarkan penyelesaian yang realistik.
Mahasiswa mengurus demokrasi sendiri
Pelaksanaan rapat umum yang dikendalikan oleh JPJPP turut memperlihatkan ruang pemerkasaan yang diberikan kepada mahasiswa dalam mengurus dan menjayakan proses demokrasi kampus.

Pendekatan ini memberikan pengalaman langsung kepada mahasiswa dalam aspek pengurusan pemilihan, tadbir urus, integriti, komunikasi serta tanggungjawab dalam memastikan proses demokrasi berlangsung secara matang dan telus.
Penganjuran selama tiga malam itu juga menjadi sebahagian daripada proses pendidikan demokrasi bagi meningkatkan literasi politik mahasiswa serta membentuk pengundi yang bermaklumat, kritis dan bertanggungjawab.
Menjelang hari pengundian, mahasiswa mempunyai tanggungjawab untuk menentukan barisan kepimpinan yang bakal membawa suara dan aspirasi mereka.
Apa jua keputusan pemilihan kelak, semangat kebersamaan perlu terus dipelihara. Persaingan di pentas demokrasi tidak seharusnya memisahkan mahasiswa, sebaliknya menjadi asas untuk mereka kembali bersatu dalam membangunkan universiti.

Akhirnya, kejayaan demokrasi kampus bukan sekadar diukur melalui kemenangan seseorang calon, tetapi melalui kematangan mahasiswa dalam menerima keputusan, menghormati perbezaan dan bersama-sama membawa UiTM ke hadapan.












