Oleh : Ts. Dr. Salina Sadeli
TANJONG KARANG, 31 Okt. – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan usaha memupuk kesedaran terhadap kelestarian menerusi penganjuran Program Komuniti Lestari @ Tanjong Karang 2026 yang berlangsung selama dua hari, dari 30 hingga 31 Oktober 2026 di Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang, Selangor.
Program anjuran bersama Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM dan Sekretariat Rakan Muda UTM Kuala Lumpur (UTMKL) itu dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kajang, Jawatankuasa Surau Nurhidayah serta Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Desa.
Penganjuran program tersebut menghimpunkan seramai 211 peserta, terdiri daripada 20 staf dan 21 pelajar SPACE UTM, 70 murid serta guru sekolah dan 100 anggota komuniti setempat. Turut hadir ialah Dekan SPACE UTM, Prof. Madya Dr. Kamaludin Mohamad Yusof; Ts. Nik Maria Nik Mahamood, yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Dekan (Pembangunan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM; serta Pengerusi JPKK Kampung Sungai Kajang, Hasim Ismail.

Menurut Pengarah Program yang juga Pengurus Kelestarian SPACE UTM, Ts. Dr. Salina Sadeli, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan dan tindakan komuniti.
Selain itu, program tersebut memberi penekanan kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan dan perkongsian ilmu bagi membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi serta sosial. Inisiatif itu juga menyediakan ruang kerjasama antara universiti, komuniti dan industri dalam menyokong pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Sepanjang dua hari penganjuran, sebanyak 10 aktiviti utama dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Kampung Sungai Kajang. Antaranya termasuk Pertandingan Diorama Inovasi STEM Hijau, demonstrasi fasiliti hidroponik berkuasa solar terintegrasi, Bengkel AI: Teknik Pembelajaran, gotong-royong membersihkan dan membaik pulih surau, serta aktiviti plogging di kawasan pantai.

Turut diadakan ialah sesi sembang santai bersama komuniti, senamrobik, sukan rakyat, ceramah kelestarian komuniti dan lawatan ke perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, termasuk perusahaan tapai dan kopi.
Pengisian program turut menggabungkan aspek kelestarian alam sekitar dengan apresiasi terhadap budaya dan warisan tempatan. Permainan tradisional seperti boling kelapa dan congkak, aktiviti anyaman ketupat serta kesenian tradisional cempuling diketengahkan bagi menggalakkan interaksi dan perkongsian pengalaman antara generasi muda dengan masyarakat setempat.

Pendekatan tersebut memperlihatkan bahawa agenda kelestarian bukan sahaja melibatkan usaha memelihara alam sekitar, malah turut merangkumi pemeliharaan warisan budaya, penghayatan identiti komuniti dan hubungan sosial antara generasi.
Antara pengisian yang turut diberi perhatian ialah demonstrasi fasiliti hidroponik berkuasa solar terintegrasi yang memperkenalkan aplikasi teknologi hijau dalam pertanian bandar dan pengeluaran makanan mampan. Fasiliti tersebut berfungsi sebagai medium pembelajaran praktikal untuk memperkenalkan penggunaan tenaga boleh baharu serta teknologi pertanian kepada komuniti.

Sebagai kesinambungan kepada usaha perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi, set hidroponik solar berkenaan turut disumbangkan kepada pihak sekolah dan Surau Nurhidayah untuk dimanfaatkan sebagai kemudahan pembelajaran serta menyokong pelaksanaan aktiviti kelestarian komuniti secara berterusan. Inisiatif itu mencerminkan peranan universiti dalam memperluas manfaat ilmu dan inovasi melalui penerapan teknologi mampan dalam kehidupan masyarakat.
Program tersebut turut melibatkan aktiviti pemuliharaan alam sekitar melalui penanaman 20 anak pokok bakau daripada spesies Rhizophora mucronata di sekitar Pantai Kampung Sungai Kajang. Aktiviti plogging dan gotong-royong membersihkan surau pula memberi peluang kepada peserta untuk terlibat secara langsung dalam usaha menjaga kebersihan persekitaran setempat.

Dari perspektif pembangunan mampan, program ini menyokong 12 daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) melalui penerapan elemen pendidikan, inovasi teknologi hijau, kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi setempat, pemuliharaan biodiversiti dan kerjasama strategik.
Dua belas matlamat yang berkaitan ialah SDG 3, Kesihatan Baik dan Kesejahteraan; SDG 4, Pendidikan Berkualiti; SDG 7, Tenaga Bersih dan Mampu Milik; SDG 8, Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi; SDG 9, Industri, Inovasi dan Infrastruktur; SDG 10, Mengurangkan Ketidaksamaan; SDG 11, Bandar dan Komuniti Mampan; SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab; SDG 13, Tindakan terhadap Perubahan Iklim; SDG 14, Hidupan di Bawah Air; SDG 15, Hidupan di Darat; serta SDG 17, Kerjasama demi Matlamat.
Secara keseluruhannya, Program Komuniti Lestari @ Tanjong Karang 2026 menyediakan ruang untuk meningkatkan kesedaran, berkongsi ilmu, memperkenalkan teknologi dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam usaha menjaga alam sekitar. Pelaksanaan aktiviti yang menggabungkan pendidikan, teknologi dan warisan tempatan turut memperlihatkan potensi pendekatan berasaskan komuniti dalam menyokong pembangunan mampan.
Lebih daripada aktiviti kesukarelawanan, program ini menjadi wadah pembelajaran sepanjang hayat yang menghubungkan universiti, pelajar, sekolah, industri dan masyarakat. Usaha seumpama ini diharap dapat diteruskan bagi menyokong pembentukan komuniti yang berpengetahuan, inklusif dan berdaya tahan, di samping menyumbang kepada agenda kelestarian UTM pada peringkat nasional dan global.
Sumber: UTM NewsHub












