Oleh: Florita Kimbi
KOTA KINABALU, 26 November 2026 – Bahang demokrasi mahasiswa semakin dirasai di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah apabila seramai 39 calon tampil berentap dalam kempen Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Sesi 2026/2027 bagi mendapatkan kepercayaan dan mandat warga mahasiswa.

Kempen dan rapat umum yang berlangsung selama empat hari bermula 22 hingga 25 November 2026 di Dewan Kuliah, Menara Ilmu itu menyaksikan calon daripada tujuh fakulti mengetengahkan manifesto, visi dan aspirasi kepimpinan masing-masing dalam usaha meyakinkan pengundi.
Tujuh fakulti yang terlibat ialah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Perakaunan, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi serta Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan.
Menariknya, kempen kali ini tidak hanya tertumpu kepada rapat umum secara fizikal, malah turut memanfaatkan platform TikTok Resident Studio menerusi siaran langsung yang membolehkan calon menyampaikan manifesto dan berinteraksi dengan mahasiswa secara lebih santai, terbuka dan dekat dengan generasi digital.

Keseluruhan program dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP) UiTM Cawangan Sabah, manakala sesi siaran langsung TikTok dihoskan oleh Caretaker Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2025/2026.
Pendekatan tersebut memperlihatkan kematangan mahasiswa dalam memanfaatkan teknologi bagi memperluas penyertaan warga kampus dalam proses demokrasi, sekali gus menjadikan kempen lebih dinamik, kompetitif dan inklusif.
Pelaksanaan pemilihan yang diterajui mahasiswa sendiri turut menjadi manifestasi agenda pemerkasaan mahasiswa, khususnya dalam membina keupayaan mengurus organisasi, mengendalikan komunikasi strategik serta menghayati nilai integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam kepimpinan.
Lebih daripada sekadar persaingan merebut kerusi perwakilan, pemilihan ini merupakan medan pendidikan demokrasi yang mendidik mahasiswa untuk berani menyuarakan pandangan, menghormati perbezaan pendapat dan membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Apa jua keputusan pemilihan, semangat kebersamaan perlu terus dipelihara agar seluruh mahasiswa, sama ada yang terpilih mahupun tidak, kembali bersatu membawa aspirasi dan memperjuangkan kepentingan warga kampus demi kecemerlangan UiTM.
Di bumi di bawah bayu, demokrasi mahasiswa bukan sekadar soal undi, tetapi tentang keberanian memimpin dan kematangan membina masa depan.












