Advertisement

Tujuh Penerima Pingat Emas Utama Diraikan pada Majlis Perasmian Ekspo Konvokesyen Ke-64 USM

Oleh: Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

PULAU PINANG, 24 November 2026 – Dengan mengangkat tema “Frutiger Aero yang menyatukan nostalgia perjalanan ilmu dan visi masa hadapan melalui gabungan elemen alam serta teknologi, penganjuran kali ini mencerminkan semangat agenda HEBAT dan slogan ‘Kami Memimpin’ dalam melahirkan barisan pemimpin berwibawa untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.

Selari dengan aspirasi tersebut, Majlis Perasmian dan Penganugerahan Pemenang Pingat Emas Utama Ekspo Konvokesyen 2026 (ConvEx’26) Ke-64 telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Budaya, Kampus Induk petang tadi.

“Dalam meraikan kejayaan ini, janganlah dilupakan jasa serta pengorbanan ibu bapa, keluarga, para pensyarah dan semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan anda,” ujar beliau.

Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan menzahirkan harapan agar Universiti Sains Malaysia terus melahirkan graduan berkebolehpasaran tinggi yang sentiasa menjadi pilihan utama industri, sekali gus mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa.

Menyahut hasrat kepimpinan universiti tersebut, Afzan yang mewakili seluruh sekretariat ConvEx’26 turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen padu 12 jabatan, 74 ahli majlis tertinggi dan 140 ahli sekretariat yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran pada kali ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya serta Ketua Pentadbir BHEPA USM, Puan Siti Aishah Abdul Raffar.

Sebagai kemuncak acara, seramai tujuh penerima Pingat Emas Utama universiti bagi Upacara Konvokesyen Ke-64 USM telah diraikan, di samping penyampaian sijil penghargaan kepada barisan penaja yang menyokong penganjuran ConvEx 2026.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan suasana di tapak ekspo konvokesyen USM yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik serta jualan makanan dan minuman bermula 24 November hingga 1 Disember 2026.

Total Views: 0