Advertisement

RENTAKA UiTM Ungguli Pesta Pantun Negeri Selangor 2026, Rangkul Tiga Pengiktirafan

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

SERDANG, 4 November 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi melakar kecemerlangan dalam bidang seni dan kebudayaan apabila berjaya merangkul tiga pengiktirafan dalam Pesta Pantun (PESANTUN) Negeri Selangor 2026 yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

UiTM yang diwakili oleh pasukan RENTAKA menerusi Persatuan Aktivis Puisi (AkSI) di bawah Pusat Kebudayaan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM berjaya dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan, selain meraih Anugerah Busana Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Pemantun Terbaik.

Pasukan RENTAKA dianggotai oleh empat mahasiswa, iaitu Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah, Muhammad Akmal Haziq Mohd Ramli, Puteri Nurizzah Salimah Zainudin dan Fatini Najmina Zulkifli.

Pasukan RENTAKA telah menjalani latihan di bawah bimbingan Jamilah Mat Zain, selaku Penasihat Persatuan Aktivis Puisi (AkSI) UiTM, sebagai persediaan menghadapi pertandingan tersebut.

Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah, Fatini Najmina Zulkifli, Puteri Nurizzah Salimah Zainudin dan Muhammad Akmal Haziq Mohd Ramli (dari kiri) beraksi sewaktu pertandingan berkenaan.

Kejayaan pasukan tersebut turut diserikan dengan pencapaian individu Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah yang dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik dalam pertandingan berkenaan.

Menerusi ketiga-tiga pengiktirafan tersebut, pasukan RENTAKA membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM4,500, merangkumi RM4,000 bagi Johan Keseluruhan, RM300 bagi Anugerah Busana Terbaik Keseluruhan dan RM200 bagi Anugerah Pemantun Terbaik.

Program anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini merupakan antara usaha untuk memelihara dan memartabatkan seni pantun sebagai khazanah warisan budaya Melayu agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.

Pasukan RENTAKA UiTM bergambar bersama wakil pihak penganjur selepas dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Pesta Pantun (PESANTUN) Negeri Selangor 2026.

Penganjuran pertandingan ini turut menyediakan platform kepada para peserta untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti dalam mengolah bahasa, di samping menguji ketangkasan berfikir serta kemahiran menyampaikan pantun dengan penuh tertib dan santun.

Kejayaan pasukan RENTAKA mencerminkan kesungguhan mahasiswa UiTM dalam menguasai seni berpantun, selain memperlihatkan keupayaan mereka untuk bersaing dan mencapai kecemerlangan dalam bidang seni dan kebudayaan di peringkat negeri.

Pencapaian ini turut mencerminkan komitmen Pusat Kebudayaan, JHEP UiTM dalam menyediakan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat serta potensi diri menerusi penglibatan dalam aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan.

Kejayaan membanggakan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga mahasiswa UiTM untuk terus melakar kecemerlangan dalam pelbagai bidang, sekali gus memainkan peranan aktif dalam usaha memelihara dan memartabatkan seni budaya serta warisan bangsa.

Kredit foto: Mohd Farid Janudin/Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Total Views: 9