Teks/Foto: Pasukan Debat Bahasa Inggeris Universiti Sains Malaysia
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

Pulau Pinang, 23 November 2026 – Pasukan debat Bahasa Inggeris Universiti Sains Malaysia mencipta sensasi di pentas perdebatan apabila menjulang gelaran Juara Kategori Muda (Novice Champions) pada kejohanan Pre-WUDC IIUM Open 2026 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Saingan berprestij selama dua hari bermula 21 November baru-barui ini menghimpunkan 53 pasukan dari dalam dan luar negara, sekali gus menyaksikan pertembungan sengit melibatkan institusi ternama seperti UIAM, Taylor’s University, Sunway University dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Gandingan mantap Ambrose Ting Jung Loong dari Pusat Pengajian Sains Fizik dan Tee Ying Yin dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat menjadi taruhan utama USM apabila ketajaman pemikiran, hujah yang bernas serta strategi matang membolehkan mereka mendominasi saingan hingga ke garis penamat.
Aksi final Kategori Muda berlangsung mendebarkan apabila gandingan tersebut berjaya menundukkan pencabar terdekat daripada sebuah lagi pasukan USM yang turut mara ke pusingan akhir, selain mengetepikan asakan tuan rumah UIAM dan New York University Abu Dhabi (NYU Abu Dhabi).


Kecemerlangan kontinjen USM terus bersinar menerusi pencapaian peribadi Ambrose yang dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir, di samping menduduki tangga kelapan bagi kategori Keseluruhan Pendebat Muda Terbaik.
Kejayaan berganda ini membuktikan keupayaan mahasiswa USM menguasai pentas antarabangsa melalui ketajaman pemikiran dan hujah kelas pertama, sekali gus menterjemahkan aspirasi H.E.B.A.T USM dalam melahirkan bakat holistik yang berani mencabar dan bersedia menerajui masa hadapan.












