Advertisement

Kembara Islamabad: Mahasiswa UiTM Duta Seni dan Budaya Malaysia

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

SHAH ALAM, 24 November 2026 – Seramai enam mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi kumpulan tarian Gemalai Qarma Dansa di bawah naungan Pusat Kebudayaan UiTM telah membawa keunikan seni dan warisan budaya Malaysia ke persada antarabangsa menerusi program Kembara Islamabad yang berlangsung pada 17 hingga 24 September 2026.

Penyertaan delegasi UiTM adalah atas jemputan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad bagi menjayakan persembahan kebudayaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Hari Malaysia 2026 serta Minggu Festival Makanan Malaysia. Penglibatan tersebut menjadi wadah diplomasi budaya dalam memperkenalkan identiti dan kepelbagaian warisan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa melalui seni persembahan.

Delegasi UiTM terdiri daripada Nurqasrina Hasya Shamsuri dan Hasleya Damia Adriana Khairul Awazi dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Nur Idayu Zulfiraus dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Mohammad Razlansyah Sabran dari Fakulti Undang-Undang (FUU), Mohamad Daniel Ikhmal Yahya dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) serta Mohamad Adam Riezal dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR).

Nurul Suhana (tengah) bersama-sama Kumpulan Gemalai Qarma Dansa di Islambad, Pakistan.

Pemilihan kumpulan Gemalai Qarma Dansa bagi menjayakan program tersebut didorong oleh pencapaian cemerlang mereka di peringkat kebangsaan, antaranya muncul sebagai juara Festival Zapin Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FESZAM) serta meraih tempat ketiga dalam Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FESTKUM).

Di bawah bimbingan Penolong Pegawai Kebudayaan Kanan, Pusat Kebudayaan UiTM, Nurul Suhana Mohd Noor, kumpulan tersebut melaksanakan persiapan dalam tempoh hanya seminggu sebelum berangkat ke Pakistan. Persiapan berkenaan merangkumi pemilihan konsep persembahan, latihan tarian, penyediaan busana dan prop serta penyelarasan keperluan perjalanan delegasi.

Sepanjang berada di Islamabad, kumpulan Gemalai Qarma Dansa telah menjayakan persembahan kebudayaan termasuk di Serena Hotel Islamabad dengan mengetengahkan pelbagai genre tarian tradisional Malaysia seperti zapin, inang, joget, sewang serta tarian etnik Sabah dan Sarawak. Antara persembahan yang turut ditampilkan ialah Joget Selangor Sendaloka.

Kumpulan Gemalai Qarma Dansa UiTM ketika mempersembahkan tarian Joget Selangor Sendaloka di Islamabad, Pakistan.

Keunikan persembahan turut diserlahkan melalui penggunaan pelbagai persalinan busana tradisional yang mencerminkan kepelbagaian kaum, etnik dan warisan masyarakat Malaysia. Gabungan seni tari dan busana tersebut menjadi medium komunikasi budaya dalam memperkenalkan kekayaan khazanah seni negara kepada khalayak antarabangsa.

Sekitar Islamabad

Selain menjayakan persembahan kebudayaan, delegasi UiTM turut berkesempatan mengunjungi Masjid Faisal, antara mercu tanda utama di Islamabad. Lawatan tersebut memperkaya pengalaman mahasiswa melalui pendedahan kepada keunikan seni bina, budaya dan persekitaran masyarakat Pakistan.

Kumpulan Gemalai Qarma Dansa UiTM bergambar kenang-kenangan berlatarbelakangkan Masjid Faisal, antara mercu tanda ikonik di Islamabad, Pakistan.

Penyertaan Gemalai Qarma Dansa dalam Kembara Islamabad 2026 mencerminkan komitmen UiTM menerusi Pusat Kebudayaan dalam memperluas peluang pengantarabangsaan mahasiswa melalui seni dan kebudayaan. Inisiatif seumpama ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan bakat mahasiswa secara holistik, malah memperlihatkan potensi generasi muda sebagai duta budaya dalam memartabatkan seni dan warisan Malaysia di persada dunia.

Total Views: 1