Advertisement

Tirai AUSF 2026 Dilabuhkan, China Dominasi Kejuaraan

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Paya Besar, 9 September – Asian University Table Tennis Championship 2026 melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama tiga hari dengan menyaksikan persaingan sengit melibatkan atlet universiti dari pelbagai negara Asia di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Paya Besar.

Majlis penutupan kejohanan turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Encik Agha Khilfi bin Suarno; Bendahari Asian University Sports Federation (AUSF), Prof. Ha Woong Yong; wakil Asian University Championship Committee (AUSC) kepada AUSF, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed; Pendaftar dan Ketua Pegawai Operasi UMPSA, Dato’ Saiful Bahri bin Ahmad Bakarim serta Pengarah Sukan UMPSA, Mohd Aznorizamin bin Ismail.

Sepanjang penganjuran kejohanan, para atlet mempamerkan tahap permainan yang tinggi dengan aksi kompetitif, disiplin serta semangat kesukanan yang membanggakan, sekali gus menjadikan kejohanan ini antara platform penting dalam memperkasakan sukan universiti di peringkat Asia.

China muncul sebagai negara paling dominan apabila berjaya mengungguli hampir keseluruhan kategori yang dipertandingkan menerusi prestasi cemerlang atlet-atletnya dalam acara individu, beregu dan berpasukan.

Bagi kategori individu lelaki, kejuaraan dimenangi oleh Xuansong Yuan dari China, manakala Aige He turut mengharumkan nama negaranya dengan merangkul gelaran juara individu wanita.

China juga menguasai acara beregu apabila pasangan Xuansong Yuan dan Jiecheng Luo muncul juara beregu lelaki, manakala Aige He bersama Hanshi Xing menjuarai kategori beregu wanita. Bagi acara beregu campuran pula, pasangan Junhang Fei dan Aige He berjaya meraih kejuaraan.

Dalam acara berpasukan, China terus membuktikan keunggulannya apabila muncul juara bagi kategori berpasukan lelaki dan wanita, sekali gus menegaskan dominasi negara tersebut dalam kejohanan kali ini.

Penganjuran Asian University Table Tennis Championship 2026 bukan sahaja menyemarakkan arena sukan universiti di Asia, malah mengukuhkan kedudukan UMPSA sebagai institusi yang berkeupayaan menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa serta menjadi platform mempererat hubungan antara institusi pengajian tinggi serantau.

Lebih daripada sekadar pertandingan, kejohanan ini turut menjadi medan memperkukuh jaringan persahabatan, kerjasama dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Tiga hari penuh aksi, semangat dan persahabatan akhirnya melabuhkan tirai dengan meninggalkan kenangan bermakna yang akan terus terpahat dalam sejarah penganjuran sukan universiti Asia.