Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA, Foto : MPRC USM

Kulim, Kedah, 5 September 2026 :- Kisah pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di tengah-tengah ujian berat kehilangan kedua ibubapanya sering menjadi inspirasi kerana mempamerkan ketabahan luar biasa.
Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, menerima tawaran melanjutkan pengajian di USM dengan penuh harapan untuk membina masa depan,
Namun kegembiraan tersebut hadir bersama dugaan besar apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir baru-baru ini akibat kanser otak, selepas bapanya terlebih dahulu meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 pada tahun 2021.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Adam kini berdepan tanggungjawab besar untuk memastikan kebajikan adik-adiknya yang masih bersekolah terus terpelihara, termasuk adik bongsunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dan memerlukan penjagaan khusus, manakala adik keduanya bekerja di sebuah kedai makan di kampung bagi membantu meringankan beban keluarga.
Adam dikenal pasti sebagai antara pelajar yang berpotensi menerima Biasiswa Siswa Sulung USM. Kunjungan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya ke kediamannya di Kulim, Kedah menjadi manifestasi keprihatinan universiti dalam memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian pada awal perjalanan pengajian mereka.
Aspek kesejahteraan keluarga turut menjadi perhatian apabila Naib Canselor mencadangkan agar Adam bersama ahli keluarga mendapatkan saringan kesihatan di PKTAAB sebagai langkah pencegahan dan penjagaan kesihatan.
“Sekiranya terdapat keperluan rawatan susulan, USM bersedia memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya,” ujar Rahman lagi.



Semangat ‘demi arwah’ sering dijadikan pembakar semangat utama untuk Adam tidak berputus asa meneruskan pengajian walaupun menanggung rindu yang amat sangat.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak USM atas kunjungan dan biasiswa yang disampaikan ini. “Walaupun tanpa kehadiran ibu bapa di sisi, saya tetap bertekad untuk menjejakkan kaki ke menara gading demi mengubah nasib keluarga, “ ujarnya ketika ditemui di kediamannya.












