Oleh : Unit Kebajikan & OKU BHEPA

PULAU PINANG, 18 September 2026 – Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (PAUSM) menyumbangkan sebuah komputer riba kepada Nur Liyana Najwa Azmi, pelajar Tahun 1, Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM), sebagai sokongan terhadap keperluan pembelajaran dan kelancaran pengajian beliau.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden Persatuan Alumni USM, Ir. Ts. Kamarul Badlishah Kamarulzaman kepada Nur Liyana Najwa dalam satu sesi penyerahan yang turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya kelmarin.
Nur Liyana Najwa, anak kelahiran Pulau Pinang yang membesar di Kulim, Kedah, merupakan anak kepada seorang pesawah dan antara pelajar cemerlang Kolej Matrikulasi Changlun, Kedah selepas memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 sebelum melanjutkan pengajian di USM.


Beliau yang kini mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Pengurusan turut merupakan penerima manfaat Program Siswa Sulung, sekali gus mencerminkan komitmen USM dalam memperkasa mahasiswa daripada keluarga generasi pertama ke institusi pengajian tinggi.
Turut hadir ialah Ketua Pentadbir Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni, Profesor Dr. Azizah Omar dan Ketua Unit Kebajikan BHEPA Puan Siti Meszaida Mohd. Ehsan.
Inisiatif kebajikan PAUSM itu diharapkan dapat meringankan keperluan Nur Liyana Najwa dalam melaksanakan tugasan akademik, di samping memberi kemudahan pembelajaran yang lebih baik sepanjang tempoh pengajiannya di USM.













