Advertisement

Simpan, Urus, Jana : Pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Terap Tabiat Menabung Kepada Murid Sekolah

Oleh : Pusat Pengajian Pengurusan USM

Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 22 Jun 2026 :- Seramai 112 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor mendapat pendedahan berharga mengenai kepentingan menabung dan pengurusan kewangan menerusi Program Duta Kewangan Muda yang berlangsung pada 19 Jun 2026 baru-baru ini.

Program anjuran pelajar Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia bagi kursus Perancangan Kewangan dan Kekayaan (AFW313) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Melalui pendekatan SULAM, para pelajar bukan sahaja belajar secara teori di dalam kelas, malah turun padang untuk menerapkan ilmu pengurusan kewangan kepada komuniti sekolah rendah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka.

Projek ini dilaksanakan di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Haslindar Ibrahim, yang melibatkan 72 pelajar USM bertindak sebagai fasilitator untuk membimbing murid-murid memahami empat konsep asas kewangan iaitu Simpan, Urus, Jana, dan Derma.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Guru Besar SK Bukit Gelugor, Encik Fazlee Bin Yahya.

Beliau memuji usaha proaktif mahasiswa USM yang berjaya menterjemahkan modul pembelajaran ke dalam bentuk aktiviti yang menyeronokkan dan mudah difahami oleh murid-murid.

Kejayaan program ini turut diperkasakan oleh penglibatan tujuh agensi utama yang menyediakan reruai interaktif, iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), MQ Consultancy, Pusat Zakat Pulau Pinang, dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC). Program ini juga mendapat sokongan tajaan daripada AKPK di bawah Kelab AKPK GROW USM.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen USM dalam memperkasa amalan baik kelestarian 4, berfokuskan kepada usaha untuk memastikan pendidikan berkualiti secara menyeluruh dan saksama, serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.