Advertisement

Sambutan Merdeka Warga HEP UiTM Penuh Keunikan Dalam Perarakan Kemerdekaan 2026

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

SHAH ALAM, 11 September 2026 – Semangat patriotisme dan kebersamaan mewarnai kemuncak Program Semarak Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) 2026 yang berlangsung sejak 14 Ogos sehingga 11 September 2026.

Program selama hampir sebulan itu menghimpunkan warga JHEP menerusi tiga pengisian utama iaitu pertandingan hiasan pejabat yang bertemakan “Inovasi Kemerdekaan”, Staff Got Talent serta Perarakan Kemerdekaan, dengan acara penutup berlangsung hari ini.

Acara penutup tersebut turut disemarakan dengan kehadiran barisan Pengurusan Eksekutif HEP, para pengarah serta pengetua kolej kediaman, yang bersama-sama warga JHEP menyemarakkan suasana sambutan dan memberikan sokongan kepada kontinjen yang mengambil bahagian.

Prof. Dr. Sazili bersama barisan kepimpinan Hal Ehwal Pelajar sewaktu Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Perarakan Kemerdekaan menyaksikan penyertaan lapan kontinjen yang terdiri daripada gabungan pelbagai bahagian, pusat, unit dan kolej kediaman di bawah JHEP, masing-masing tampil membawa identiti tersendiri dalam menyemarakkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pelbagai gaya dan busana menyerlahkan keunikan kontinjen yang mengambil bahagian.
Warga HEP kelihatan gembira sepanjang Perarakan Kemerdekaan 202
Semangat kebersamaan jelas terpancar dalam kalangan warga HEP sepanjang perarakan berlangsung.

Kontinjen Kolej Kediaman Cemara, Delima dan Melati muncul juara perarakan, manakala Kontinjen Pusat Sukan dan Kolej Kediaman Perindu meraih tempat kedua. Kontinjen Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) pula melengkapkan kedudukan podium tiga terbaik apabila berjaya meraih tempat ketiga.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi dalam ucapan perasmian penutup merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa, urus setia dan seluruh warga JHEP atas komitmen serta semangat kebersamaan yang ditunjukkan sepanjang penganjuran program.

Menurut Prof. Dr. Sazili, sambutan kemerdekaan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai acara tahunan, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk menghayati sejarah, menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta merenungi sumbangan setiap individu kepada negara.

“Kita bukan sekadar mengurus mahasiswa. Kita membentuk manusia, membina sahsiah, menyemai nilai dan melahirkan pemimpin masa hadapan.” Katanya.

Pihak urus setia ketika memberikan taklimat kepada para peserta Perarakan Kemerdekaan 2026.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat patriotisme dalam konteks warga JHEP haruslah diterjemahkan melalui integriti dalam melaksanakan tugas, memberikan perkhidmatan terbaik kepada mahasiswa, menghormati rakan sekerja serta menjaga nama baik universiti.

Pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang sambutan berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada warga JHEP menzahirkan kreativiti dan semangat cintakan negara, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan warga jabatan.

Kontinjen dari Kolej Kediaman Anggerik dan Kolej Kediaman Mawar ketika Perarakan Merdeka 2026.
Kontinjen dari Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar, Unit Pengurusan Non-Resident, Kolej Kediaman Kristal, Unit Ruang Niaga, dan Institut Kepimpinan Pelajar ketika persembahan kumpulan mereka.

Prof. Dr. Sazili turut berharap agar berakhirnya program tersebut tidak menandakan berakhirnya semangat kemerdekaan, sebaliknya nilai berkenaan terus dibawa dalam setiap amanah dan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh warga JHEP.

“Merdeka dalam pemikiran, teguh dalam prinsip, ikhlas dalam perkhidmatan, dan bersatu dalam membawa UiTM serta Malaysia ke hadapan.”

Sebahagian daripada Kontinjen Pusat Sukan & Kolej Kediaman Perindu ketika persembahan kumpulan mereka.