Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 3 September 2026 – Seramai 15 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai program mobiliti antarabangsa selama 14 hari di Uzbekistan menerusi Malaysia–Uzbekistan Culturalpreneurship and Creative Tourism Initiative (MUCCTI) yang berlangsung dari 17 hingga 30 Ogos 2026.
Diterajui oleh Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED), program itu menghimpunkan pelajar daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Fakulti Filem, Teater dan Animasi bagi meneroka hubungan antara industri kreatif, pelancongan dan keusahawanan dalam konteks antarabangsa.

Sepanjang berada di Uzbekistan, para peserta menggunakan kemahiran dalam fotografi, videografi, penyuntingan digital dan animasi untuk menghasilkan kandungan kreatif berkaitan budaya serta destinasi pelancongan negara berkenaan. Penghasilan kandungan secara langsung di lapangan turut memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan kemahiran akademik dalam persekitaran sebenar.

Menurut Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) UiTM, Profesor Madya Dr. Badrul Isa, pengalaman tersebut bukan sahaja memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar, malah membolehkan mereka melihat potensi kemahiran kreatif sebagai sebahagian daripada peluang keusahawanan yang mempunyai nilai komersial.
Perkongsian Ilmu Bersama Institusi Uzbekistan
Selain aktiviti dokumentasi budaya dan pelancongan, program berkenaan turut melibatkan sesi perundingan, pembentangan serta perkongsian bersama beberapa institusi pengajian tinggi di Uzbekistan dalam bidang kreatif, akademik dan pembangunan bakat.
Pada 26 Ogos, Profesor Madya Dr. Badrul turut mengadakan kunjungan ke Tashkent University of Information Technologies named after Muhammad al-Khwarizmi (TUIT) sempena sebuah forum media antarabangsa. Pertemuan dan kelas khas yang diadakan di universiti berkenaan menyentuh antaranya perkembangan media dan kewartawanan moden, amalan media antarabangsa, pendidikan digital serta teknologi inovatif.

Program itu turut membuka ruang interaksi antara peserta UiTM dengan komuniti serta institusi tempatan. Pendekatan MUCCTI merangkumi pembelajaran melalui pengalaman budaya, penghasilan fotografi, videografi dan dokumentari, penceritaan digital serta pembangunan kandungan yang boleh digunakan bagi memperkenalkan destinasi pelancongan kepada khalayak lebih luas.

Sebagai kesinambungan program, hasil fotografi peserta dirancang untuk dipamerkan di beberapa lokasi terpilih di Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Republik Uzbekistan di Malaysia. Pameran tersebut akan menjadi ruang untuk mengetengahkan hasil kreatif peserta di samping memperkenalkan budaya dan destinasi pelancongan Uzbekistan kepada khalayak tempatan.
MUCCTI merupakan inisiatif yang berlangsung dari Ogos 2026 hingga Ogos 2027 dan merangkumi beberapa aktiviti susulan termasuk pameran kreatif, penyelidikan bersama serta usaha promosi pelancongan Uzbekistan di Malaysia. Kerjasama itu turut membuka ruang kepada pembangunan hubungan akademik dan keusahawanan antara UiTM dengan institusi di Uzbekistan.
UiTM turut merancang untuk memperluas kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Uzbekistan menerusi beberapa memorandum persefahaman dalam tempoh setahun akan datang, meliputi kerjasama akademik, keusahawanan pelajar, penyelidikan dan pembangunan bakat.













