SINTOK– Program Outreach Kaunseling telah dilaksanakan pada 15 hingga 17 September 2026 bertempat di Dewan Mu’adzam Shah (DMAS), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersempena dengan Minggu Suai Kenal Sesi A261.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang ini bertujuan memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar mengenai perkhidmatan kaunseling serta kepentingan mengenali diri dan mengurus kesejahteraan psikologi terutama kepada pelajar yang baru mendaftar.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan sepanjang program, antaranya Inventori Gaya Belajar, Depression Anxiety Stress Scales (DASS), Inventori Personaliti Warna (IPW) serta permainan uji minda. Para pelajar turut berpeluang menyertai sesi sembang santai bersama kaunselor dan mendapatkan khidmat runding cara daripada kaunselor pelatih. Selain itu, goodies turut disediakan sebagai salah satu tarikan kepada para pengunjung.
Program ini turut memberi ruang kepada para pelajar untuk mengenali diri dengan lebih baik, berkongsi pandangan serta mendapatkan bimbingan berkaitan isu yang dihadapi. Melalui khidmat rundingan yang diberikan, kaunselor pelatih telah membantu pelajar mengenal pasti isu dan keperluan mereka serta memberikan bimbingan secara profesional dalam suasana yang santai dan mesra pelajar.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan, ramai pelajar mengambil peluang untuk menyertai aktiviti yang disediakan serta mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kaunseling. Penglibatan aktif para pelajar menunjukkan bahawa pendekatan kaunseling secara santai mampu menjadi medium yang lebih dekat dan mudah diakses oleh pelajar.
Pelaksanaan Program Outreach Kaunseling ini mencerminkan komitmen Pusat Kaunseling UUM dalam memastikan para pelajar mendapat akses kepada maklumat, sokongan serta perkhidmatan psikologi yang berkualiti. Pendekatan secara langsung di lapangan turut membantu memperkenalkan perkhidmatan kaunseling kepada pelajar dalam suasana yang lebih santai, interaktif dan mesra.
Berita oleh Syaima’ Binti Mohd Rusli (Kaunselor Pelatih, Pusat Kaunseling)
Gambar oleh Siti Maisarah Abdul Nain (Kaunselor Pelatih, Pusat Kaunseling)












