Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar & Alumni dan Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi bergambar bersama barisan seketariat Kejohanan Pesta Bola Jaring USM–Penang International
PULAU PINANG 19 Oktober 2026 :- Kejohanan Pesta Bola Jaring USM–Penang International kali ke-32 melabuhkan tirai kelmarin selepas tiga hari berlangsung di Stadium Azman Hashim, USM.
Berteraskan moto “Build Unity, Through Sports”, kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober 2026 ini bukan sahaja menjadi medan persaingan atlet pelbagai lapisan masyarakat, malah turut berperanan sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu, menyemarakkan semangat kesukanan serta memperkukuh kemahiran kepimpinan, disiplin dan pengurusan dalam kalangan mahasiswa.
Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM berkata, penganjuran kejohanan sukan seperti ini turut mencerminkan aspirasi pendidikan holistik pelajar USM melalui menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pembentukan sahsiah dan nilai insaniah bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berdisiplin, berkarakter dan berupaya memimpin dalam pelbagai lapangan.

“PBJ bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga platform untuk mengasah bakat muda dan menanam semangat kesukanan yang tinggi,” ujar beliau.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Encik Azahari Abdullah, wakil Milo Malaysia, Tuan Haji Mohamad Dziauddin Mat Saad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Encik Ts K’ng, wakil Syarikat Optimum Capacity.
Cik Nur Izzatul Aisyah Saiful Bahari, Pengerusi Jawatankuasa Kerja USM Milo Pesta Bola Jaring Penang International kali ke-32 2026, menzahirkan rasa bangga dan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan ini dan berharap agar penganjurannya terus berkembang sebagai platform mencungkil bakat baharu serta memperkukuh jaringan komuniti bola jaring di Malaysia dan rantau Asia.



Penganjuran kejohanan ini melibatkan penyertaan seramai 1,824 pemain dalam lapan kategori pertandingan daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang, sekali gus mencerminkan komitmen USM dalam memperkasa pembangunan sukan dan kepimpinan mahasiswa menerusi pengalaman mengendalikan acara berskala besar.
Usaha ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 5: Kesamarataan Gender melalui peluasan peluang penyertaan dan pembangunan kepimpinan dalam sukan, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat menerusi kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa.












