Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 7 September 2026 – Hubungan antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Prince of Songkla University (PSU), Pattani Campus terus diperkukuh menerusi kunjungan balas delegasi universiti dari Thailand itu ke UiTM Shah Alam hari ini.
Kunjungan menerusi program STEM ConnectHER @ PSU Pattani – Cross-Border STEM Learning Trip bertujuan untuk membalas lawatan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM ke PSU Pattani pada 30 April lalu, sekali gus meneruskan kelangsungan hubungan dan kerjasama yang telah terjalin antara kedua-dua institusi tersebut.
Delegasi yang terdiri daripada 60 pelajar, staf dan juga pensyarah PSU diketuai oleh Prof. Dr. Warapark Maitreephun, Penolong Presiden Penyelidikan dan Misi Sosial dari Kampus Patani. Pelawat dari PSU telah memulakan kunjungan mereka dengan sesi sambutan serta pengenalan di Dewan Senat, UiTM Shah Alam.
Delegasi PSU disambut oleh Prof. Madya Dr. Badrul Isa, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan); Prof. Madya Dr. Hj. Mohammad Noor Jalil,Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar; Encik Mohd Rizal Nordin, PengarahBahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia; serta barisan pemimpin pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2025/2026.

Dalam ucapan nya, Dr. Badrul berkata kunjungan balas itu memberi peluang kepada kedua-dua universiti untuk membawa hubungan sedia ada ke arah kerjasama lebih bermakna, khususnya dalam pembangunan pelajar, pendidikan STEM, kepimpinan, inovasi dan pembelajaran rentas sempadan.
“Kunjungan ini bukan sekadar perkongsian pengetahuan, tetapi turut membuka ruang untuk membina persahabatan, bertukar idea dan mewujudkan peluang kerjasama pada masa hadapan,” katanya.
Delegasi dari Thailand itu seterusnya meneruskan lawatan ke Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Fakulti Kejuruteraan Kimia bagi melihat dan menilai dengan lebih dekat inisiatif UiTM dalam usaha untuk menggalakkan minat serta penglibatan pelajar dalam bidang STEM.

Delegasi PSU telah mengikuti demonstrasi STEM dan berpeluang melihat kemudahan serta kepakaran yang menyokong ekosistem STEM UiTM di setiap fakulti yang dilawati. Program berkenaan turut membuka ruang kepada delegasi untuk berinteraksi dengan warga UiTM, bertukar pandangan serta mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai pendekatan universiti dalam memperkasa pendidikan STEM.
Kunjungan itu turut menjadi salah satu platform pertukaran pandangan mengenai pembangunan pelajar dan pendidikan STEM, selain kerjasama dalam aspek kepimpinan, inovasi dan pembelajaran rentas sempadan antara kedua-dua institusi.
Hubungan UiTM dan PSU turut membuka ruang kepada kerjasama seterusnya menerusi mobiliti pelajar, program bersama dan pertukaran pengetahuan, selaras dengan aspirasi kedua-dua universiti untuk memperhalusi hubungan dalam Komuniti ASEAN.













