Advertisement

Perasmian Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani

Oleh : Adib Syazwan Ismail

UniSZA Lancar Sekolah Angkat MADANI 2026, Perkasa Generasi “Future Caliph” Berteraskan Ilmu dan Nilai

Besut, 9 Mei 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan pendidikan negara menerusi peluncuran program Sekolah Angkat MADANI UniSZA 2026 yang dilihat sebagai platform strategik dalam memperkasa generasi masa hadapan berteraskan ilmu, teknologi dan nilai-nilai Islam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UniSZA, Dato’ Prof. Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar yang menegaskan bahawa pendidikan pada hari ini perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan sains tanpa mengabaikan aspek nilai, akhlak dan tanggungjawab sosial.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata dunia kini sedang bergerak pantas dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data dan penerokaan sains moden yang semakin kompleks. 

Menurut beliau, pendidikan Islam yang bersifat menyeluruh mampu menjadi asas penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai hikmah, adab dan integriti dalam membuat keputusan.

“Kita bukan sekadar menguasai teknologi, tetapi perlu memimpin teknologi dengan nilai. Prinsip tauhid, amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah perlu menjadi asas dalam setiap bentuk kemajuan yang dicapai,” katanya pada majlis peluncuran berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEPA, Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff mewakili Naib Canselor UniSZA, Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Encik Mohd Aliziyad bin Abas, Pendaftar UniSZA, Encik Muzafar bin Mohd Din, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, UniSZA, Profesor Madya Doktor Syarilla Iryani binti Ahmad Saany, Guru Besar SK Kampung Raja, Tuan Haji Wan Ahmad Hasbi bin Haji Wan Jusoh dan Yang Dipertua PIBG SK Kampung Raja, Datin Profesor Madya Teknologis Doktor Nurul Adilah binti Ab Latif.

Beliau turut menekankan bahawa universiti masa kini tidak boleh berfungsi secara terpisah daripada masyarakat, sebaliknya perlu menjadi pusat ilmu yang hidup dengan memindahkan kepakaran, inovasi dan hasil penyelidikan kepada komuniti.

Jelas beliau, inisiatif Sekolah Angkat MADANI UniSZA merupakan pendekatan yang sangat strategik kerana ia membolehkan universiti turun padang membantu memperkukuh pendidikan sekolah melalui perkongsian kepakaran akademik, pembangunan kapasiti guru serta pendedahan kepada pelajar dalam bidang inovasi, sains dan teknologi.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan aspirasi “Future Caliph” yang diketengahkan UniSZA sebagai satu pendekatan relevan dalam mendepani cabaran dunia masa hadapan.

Katanya, generasi masa kini perlu dibentuk sebagai individu yang berdaya fikir, kreatif dan mampu memimpin, namun tetap berpegang teguh kepada nilai agama dan akhlak.

“Generasi Future Caliph perlu menjadi generasi yang seimbang, menguasai ilmu aqli dan naqli serta memiliki integriti, amanah dan kesedaran sebagai khalifah di muka bumi,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif tersebut termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, pihak sekolah, fakulti serta pusat tanggungjawab UniSZA yang terlibat.

Kementerian Pendidikan Tinggi

Zambry Abd. Kadir

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin

Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Sultan Zainal Abidin

HEPA UniSZA

Pusat Kesenian dan Warisan UniSZA

#ProudlyUniSZA

#uniszapastitahu

#IlmuDemiFaedahInsan

#unisza