Oleh: Nuryee Sin Giap Abdullah Ibrahim Giap
TANJONG MALIM, 27 OKTOBER 2026 — Pentas demokrasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kian membara menerusi penganjuran Hari Rapat Umum dan Rapat Umum Mega Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2026/2027, yang menjadi medan penentu buat para calon menambat hati pengundi kampus.
Siri Rapat Umum anjuran pertubuhan pengurusan pilihan raya kampus, Campus Election Organization (CEO) UPSI itu telah berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 Oktober lalu. Program ini melibatkan empat lokasi strategik iaitu Kolej Ungku Omar (KUO), Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kolej Za’ba (KZ), dan Bitarasiswa Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).

Seramai 45 calon yang bertanding bagi Kerusi Umum, Kerusi Fakulti, dan Kerusi Etnik memanfaatkan platform berkenaan untuk berinteraksi secara bersemuka dengan mahasiswa serta mengetengahkan pelbagai isu merangkumi kebajikan, fasiliti kampus, dan pemerkasaan modal insan.
Kemuncak kempen diteruskan malam ini menerusi Rapat Umum Mega yang dimulakan dengan perarakan konvoi calon. Perarakan tersebut bermula dari Padang Kawad, melintasi rangkaian kolej kediaman utama sebelum berakhir di Pentas Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki (KAB) bagi sesi pembentangan akhir.

Sorakan gemuruh mahasiswa yang hadir membanjiri tapak perhimpunan jelas menghidupkan suasana dan menyuburkan amalan demokrasi matang dalam kalangan penuntut universiti.
Tirai sesi berkempen yang melabuhkan tirainya malam ini menandakan bermulanya debaran Hari Pengundian Pemilihan MPP Sidang 2026/2027 yang dijadualkan berlangsung esok, 28 Oktober 2026.

Sehubungan itu, seluruh warga mahasiswa UPSI diseru untuk turun menunaikan hak demokratik masing-masing serta memilih barisan kepimpinan yang berwibawa, berintegriti, dan berupaya memperjuangkan suara mahasiswa secara tuntas.












