Advertisement

Penglibatan Aktif dalam Kepimpinan Mengangkat Muhammad Zaki Anuar sebagai Penerima Anugerah Ikon Siswa Unggul 2025

Oleh: Muhammad Hisyamuddin Sazali

KUALA NERUS, 10 Mei 2026 – Keperibadian unggul, kepimpinan berwibawa serta kecemerlangan akademik dan kokurikulum yang seimbang membolehkan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu, Muhammad Zaki Anuar diangkat sebagai penerima Anugerah Ikon Siswa Unggul sempena Majlis Anugerah Ikon Siswa 2025 yang bertemakan Mengangkat Keunggulan Mahasiswa IDAMAN.

Pelajar program Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian dari Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur UMT itu menerima pengiktirafan tersebut atas kecemerlangannya dalam aspek kepimpinan mahasiswa, pembangunan sahsiah, penglibatan aktif dalam kokurikulum serta komitmen tinggi dalam mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang.

Menurutnya, anugerah yang diterima bukan sekadar simbol kejayaan, sebaliknya menjadi amanah besar untuk terus membawa nama baik universiti dan memberi inspirasi kepada mahasiswa lain.

“Anugerah ini amat bermakna buat saya kerana ia menjadi penghargaan terhadap perjalanan sebagai seorang mahasiswa yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap amanah yang dipikul.”

“Saya percaya kepimpinan bukan hanya tentang memegang jawatan, tetapi bagaimana kita mampu memberi manfaat kepada orang lain dan meninggalkan nilai yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Muhammad Zaki turut menzahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan tersebut serta menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil doa dan sokongan ramai pihak sepanjang perjalanan akademiknya.

Keunikan beliau sebagai ikon mahasiswa terserlah menerusi pendekatan kepimpinan yang menekankan nilai integriti, disiplin dan semangat kerja berpasukan, sekali gus menjadikan beliau contoh kepada mahasiswa lain.

“Apabila usaha tersebut dihargai melalui anugerah ini, ia menjadi satu penghormatan besar dan motivasi untuk saya terus menyumbang kepada universiti serta masyarakat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan pengiktirafan yang diterima Muhammad Zaki selari dengan agenda universiti dalam memperkasa mahasiswa sebagai aset negara dan generasi pelapis masa hadapan.

“UMT sentiasa komited dalam melahirkan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki nilai kepimpinan, jati diri, sahsiah tinggi serta kemampuan untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Mahasiswa seperti Muhammad Zaki mencerminkan aspirasi universiti dalam membentuk generasi pelapis yang berdaya saing, berintegriti dan mampu menjadi pemimpin masa depan yang membawa impak positif kepada negara,” katanya.

Beliau turut berharap kejayaan tersebut akan menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus aktif membangunkan potensi diri, berani memimpin serta memanfaatkan pengalaman di universiti sebagai platform membina masa depan yang lebih cemerlang