Advertisement

Pengalaman Pelaut, Cabaran Industri Jadi Inspirasi Mahasiswa Maritim

Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah

KUALA NERUS, 4 Nov — Pendedahan terhadap realiti industri perkapalan, perkembangan teknologi dan peluang kerjaya dalam sektor maritim menjadi fokus utama sesi “UNFILTERED: Real Talk with Jasa Merin” sempena MARINOVATE 2026 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Sesi yang berlangsung di Dewan Persidangan 2, UMTCC itu menampilkan Pengarah Jasa Merin Ship Management, Kapten Mohd Azri Rahmat, sebagai panel jemputan bagi berkongsi pengalaman profesional serta perkembangan industri berdasarkan penglibatan beliau dalam sektor perkapalan.

Turut hadir Dekan Fakulti Pengajian Maritim, Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Faizal bin Ahmad Fuad dan Ketua Program Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim, Kapten Ts. Dr. Amir Syawal.

Antara perkongsian utama ialah pengalaman beliau berhadapan ancaman lanun ketika bertugas di laut, perjalanan kerjaya daripada alam pengajian sehingga menceburi bidang pengurusan perkapalan serta penglibatan dalam dunia perniagaan melalui Jasa Merin Ship Management.

Mengulas pengaruh kecerdasan buatan (AI), beliau berpandangan bahawa tenaga kerja pelaut di Malaysia masih mempunyai peranan penting dalam industri perkapalan. Tahap penerapan teknologi AI yang masih berkembang serta kebergantungan operasi kepada kapal sedia ada menjadi antara faktor yang mempengaruhi kadar perubahan industri.

Beliau turut mengetengahkan potensi kerjaya dalam bidang komersial dan kewangan maritim sebagai pilihan yang wajar diterokai mahasiswa wanita, selain laluan profesional sebagai pelaut.

Dalam aspek inovasi, beliau menjelaskan bahawa sesuatu inovasi tercetus daripada keperluan menyelesaikan masalah. Pemahaman terhadap definisi dan konsep sesuatu perkara pula menjadi asas dalam mengenal pasti permasalahan serta membangunkan penyelesaian yang bersesuaian.

Sesi tersebut turut memberikan pendedahan mengenai operasi dan peranan Jasa Merin Ship Management dalam industri perkapalan, termasuk aspek pengurusan syarikat serta peluang penglibatan tenaga profesional dalam sektor berkenaan.

Sementara itu, Nur Izzah Zairien, pelajar tahun pertama program Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim UMT, menyifatkan pendedahan industri secara langsung sebagai elemen penting dalam melengkapkan pembelajaran akademik mahasiswa.

Menurutnya, perkongsian pengalaman pengamal industri membantu mahasiswa memahami bahawa bidang maritim bukan terhad kepada operasi pelayaran, malah merangkumi pengurusan, komersial, kewangan dan pembangunan teknologi.

“Pengalaman yang dikongsikan membuka mata saya bahawa kerjaya dalam bidang maritim bukan sekadar bekerja di atas kapal, tetapi turut memerlukan ketahanan diri, kemahiran membuat keputusan dan kesediaan menghadapi cabaran.

“Saya juga lebih memahami kepentingan menguasai ilmu dan kemahiran sepanjang pengajian sebagai persediaan untuk memasuki industri,” katanya.

Program MARINOVATE 2026 mencerminkan usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan pemain industri, di samping menyediakan pendedahan kerjaya dan pengetahuan praktikal kepada mahasiswa sebagai persediaan menghadapi keperluan sektor maritim.

Total Views: 100