Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
KUALA LUMPUR, 27 Julai: Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memainkan peranan yang amat penting dalam merintis dan memupuk budaya Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (Environmental, Social and Governance – ESG) sebagai pemangkin pembangunan negara secara mampan dan berterusan.
Perkara berkenaan ditegaskan menerusi slot rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bersiaran hari ini, menerusi tajuk perbincangan “Pupuk Budaya Kelestarian di IPT melalui ESG: Pemangkin Pembangunan Negara Mampan”.

Sesi perbincangan tersebut menampilkan dua orang panel jemputan khas, iaitu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain serta CEO @ Faculty UMT, Dato’ Adissadikin Ali.
Penganjuran Global Young Leaders Summit 2026
Menerusi siaran tersebut, UMT mengetengahkan komitmen berterusan universiti dalam menyemarakkan agenda kelestarian menerusi penganjuran Global Young Leaders Summit 2026 (Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Global 2026).
Program berprestij anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT berkenaan dijadualkan berlangsung selama empat hari, bermula 5 hingga 8 Ogos 2026 akan datang.

Penganjuran sidang kemuncak ini bertujuan menyediakan platform strategik bagi memperkasakan kepimpinan belia di peringkat antarabangsa, di samping memupuk kefahaman serta amalan ESG secara mendalam dalam kalangan mahasiswa.
Inisiatif proaktif ini mencerminkan keupayaan IPT untuk berfungsi bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan akademik, malah sebagai ejen perubahan sosial yang berkeupayaan melahirkan modal insan berdaya saing, berintegriti dan peka akan isu kelestarian sejagat selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.












