Advertisement

Pembukaan KK Mart Di UMPSA Pekan Mendapat Sambutan Hangat Warga Kampus

Oleh : Siti Nurliana Binti Kamarulzaman

Pekan, 20 Mei – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kampus Pekan kini melangkah setapak lagi dalam memperkasakan kemudahan warganya dengan pembukaan rasmi cawangan kedai serbaneka KK Mart, hari ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dan Ketua Lembaga Penasihat Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia, Encik Muhamad Haikal Daniel bin Khairal Abidin serta turut dihadiri Pengarah-pengarah daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA).

Sinergi ini turut menyaksikan komitmen keprihatinan KK Mart melalui penyerahan sumbangan “Food Basket” kepada 50 orang pelajar UMPSA yang terdiri daripada pelajar dikalangan B40. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa di sini.

Pembukaan cawangan KK Mart ini dijangka akan merancakkan lagi ekosistem domestik di UMPSA Pekan, selain memberikan nilai tambah kepada kemudahan fasiliti sedia ada buat seluruh warga kampus.