SINTOK, 29 September 2026 – Pusat Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh usaha mempromosikan kesejahteraan mental dan fizikal warga kampus menerusi pelaksanaan program MUSIC & MOVE: Stress Less, Feel Better – Music, Movement & Mindfulness yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan UUM, baru-baru ini.
Program yang diadakan bersempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat UUM 2026 itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 265 orang, terdiri daripada 75 orang staf dan 190 orang pelajar UUM.
Kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti bin Hasan Basri turut menyerlahkan sokongan pihak pengurusan universiti terhadap usaha memperkasakan kesejahteraan warga kampus. Beliau turut menyampaikan ucapan aluan yang menekankan kepentingan menjaga keseimbangan antara kesihatan fizikal, mental dan emosi dalam menjalani kehidupan di kampus.

Program ini menampilkan dua orang instruktor jemputan iaitu Cikgu Liza Yahya, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, serta Puan Noor Faizzah binti Dollah, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kerajaan, UUM College of Law, Government and International Studies (COLGIS).

Menariknya, Pengarah Pusat Kaunseling UUM, Puan Faezah binti Nayan, turut turun padang mengendalikan beberapa sesi Music & Move bersama para peserta. Penglibatan beliau menjadikan suasana program semakin hangat, santai dan meriah apabila staf serta pelajar bersama-sama bergerak mengikut irama muzik dalam suasana yang penuh energi positif.
Selain sesi pergerakan dan muzik, program turut diserikan dengan elemen mindful breathing, grounding, cool down dan body awareness yang memberi peluang kepada peserta untuk memperlahankan rentak seketika, memberi perhatian kepada tubuh dan pernafasan serta melepaskan tekanan dalam suasana yang santai.
Pendekatan yang menggabungkan muzik, pergerakan dan mindfulness ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah menjadi satu ruang sosial yang positif untuk warga kampus berinteraksi, membina hubungan dan menyegarkan kembali minda selepas melalui rutin akademik dan pekerjaan yang mencabar.
Salah seorang peserta, Siti Zawiyah daripada U-Assist, menyifatkan program berkenaan sebagai sangat menarik dan menyeronokkan.
“Program ini sangat best dan menyeronokkan. Saya harap program seperti ini boleh diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Bakti bin Hasan Basri turut menyatakan bahawa program seumpama ini sangat baik kerana bukan sahaja membantu warga kampus melepaskan tekanan, malah memberi peluang kepada staf dan pelajar untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan tidak formal.


Menurut beliau, aktiviti sebegini dapat mengeratkan hubungan antara staf dan pelajar, di samping menyediakan ruang kepada warga UUM untuk berehat seketika daripada rutin harian dan menguruskan tekanan dengan cara yang sihat.
Beliau turut mencadangkan agar program berbentuk kesejahteraan seperti Music & Move dapat dilaksanakan dengan lebih kerap bagi memberikan lebih banyak peluang kepada warga kampus untuk bersama-sama menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Sambutan yang menggalakkan daripada 265 orang peserta membuktikan bahawa inisiatif yang menggabungkan elemen kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan interaksi sosial seperti ini mendapat tempat dalam kalangan warga UUM.
Program MUSIC & MOVE menjadi antara usaha Pusat Kaunseling UUM dalam memperluaskan pendekatan promosi kesejahteraan mental daripada sekadar intervensi ketika seseorang berhadapan masalah kepada usaha pencegahan, pengukuhan kesejahteraan dan pembudayaan gaya hidup sihat dalam komuniti kampus.
“Stress Less. Feel Better. Move More.” menjadi mesej utama program yang membawa harapan agar warga UUM terus mengutamakan kesejahteraan diri, bergerak aktif, menjaga kesihatan mental dan membina hubungan yang positif dalam komuniti kampus.
Berita dan Gambar oleh Pusat Kaunseling UUM












