Advertisement

MUQIM 2026 Perkasa Kepimpinan Mahasiswa Masjid Berteraskan Ilmu, Integriti dan Khidmat Ummah

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Pekan, 23 Oktober – Program Multaqa Kepimpinan Siswa Masjid MADANI IPTA Malaysia 2026 (MUQIM 2026) menjadi platform strategik dalam memperkasa kepimpinan mahasiswa masjid yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing, sekali gus melahirkan generasi muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan ummah.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, usaha menghimpunkan pemimpin muda masjid daripada pelbagai institusi pengajian tinggi merupakan langkah penting dalam membangunkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mantap dari segi kerohanian, sahsiah dan kepimpinan. Menurut beliau, masjid perlu terus diperkasakan sebagai pusat penyebaran ilmu, pembentukan akhlak, pengukuhan ukhuwah serta pembangunan masyarakat, khususnya dalam persekitaran institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, masjid universiti hendaklah menjadi pusat pembangunan mahasiswa yang menyemarakkan aktiviti keilmuan, kebajikan, kesukarelawanan dan kepimpinan. Usaha memakmurkan masjid juga memerlukan komitmen bersama pihak pengurusan, mahasiswa dan seluruh warga universiti. Beliau berkata demikian ketika merasmikan MUQIM 2026 di Dewan Solat Masjid Al-Jazari UMPSA, Pekan.

Hadir sama Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, Ustaz Zuhaimi bin Abdul Rahim, merangkap Pengerusi Majlis Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (MAHEIS); Timbalan Pengarah Seksyen Pentadbiran dan Operasi, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Naemah binti Hamzah, merangkap Pengarah Program MUQIM 2026; serta Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA, Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, merangkap Timbalan Pengarah Program MUQIM 2026.

Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar jawatan atau kedudukan, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan. Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga elemen penting dalam membentuk pemimpin muda masjid, iaitu kepimpinan berteraskan iman, ilmu dan akhlak; kepimpinan yang kreatif serta responsif terhadap perkembangan semasa; dan kepimpinan yang mengutamakan khidmat serta kebersamaan.

Menurut beliau, pemimpin muda masjid perlu berani menghasilkan idea baharu bagi menarik minat mahasiswa mendekati masjid, termasuk memanfaatkan teknologi digital secara berhemah untuk memperluas penyampaian mesej Islam dan meningkatkan keberkesanan pengurusan program. Bagaimanapun, teknologi hendaklah digunakan sebagai alat untuk menyampaikan mesej Islam dengan lebih berkesan, meluaskan manfaat dan mendekatkan masyarakat kepada masjid tanpa mengabaikan prinsip serta nilai Islam.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya mengamalkan budaya bermusyawarah, menghormati perbezaan pandangan dan mengutamakan penyelesaian secara bersama dalam menghadapi cabaran. Menurutnya, pemimpin yang baik ialah mereka yang sanggup turun padang, mendengar suara mahasiswa dan berusaha membantu golongan yang memerlukan. Pendekatan kepimpinan yang berteraskan khidmat dan keprihatinan ini penting bagi memastikan masjid terus menjadi institusi yang dekat dengan kehidupan mahasiswa.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik berterusan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam memperkukuh pembangunan kepimpinan muda masjid di Malaysia. Kerjasama ini boleh dipertingkat melalui perkongsian ilmu, latihan kepimpinan serta pelaksanaan program dakwah dan kesukarelawanan secara bersama. Beliau turut berharap MAHEIS terus memainkan peranan sebagai platform penyelarasan bagi memperkukuh jaringan strategik dan memastikan inisiatif pembangunan kepimpinan mahasiswa masjid dilaksanakan secara berterusan.

MUQIM 2026 diharapkan menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan kepimpinan muda masjid yang lebih tersusun, bersatu dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh peranan institusi masjid dalam pembangunan mahasiswa dan kesejahteraan ummah. Melalui penglibatan aktif mahasiswa serta kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, masjid universiti berpotensi menjadi pusat pembangunan generasi muda yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah, kerohanian dan kepimpinan.

Kredit Foto : Encik Zaffaruddin bin Hamzah

Total Views: 4