Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PANGKOR, 1 September 2026 – Di sebalik sebuah surat tawaran ke universiti, tersimpan harapan besar sebuah keluarga. Bagi seorang anak sulung yang bakal menjadi individu pertama dalam keluarga menjejakkan kaki ke menara ilmu, peluang melanjutkan pengajian bukan sekadar mengejar segulung ijazah, tetapi membawa bersama impian untuk mengubah masa depan keluarga.
Atas semangat itu, Universiti Sains Malaysia (USM) terus mempergiat usaha mengenal pasti dan menyantuni bakal pelajar yang layak menerima manfaat menerusi Program Pembangunan SISWA SULUNG bagi Sidang Akademik 2026/2027.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, bersama Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), serta pasukan Unit Kebajikan Pelajar dan OKU BHEPA turun padang menyantuni bakal pelajar serta keluarga mereka.
Lawatan ini bukan sekadar proses saringan, malah memberi ruang kepada pihak Universiti untuk melihat sendiri latar belakang kehidupan pelajar, mendengar harapan keluarga serta memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.



Siri lawatan berkenaan bermula pada 25 Ogos 2026, apabila barisan pegawai serta staf BHEPA serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mula menyantuni rumah-rumah pelajar termasuk Nurul Atiqah Husna Binti Azli dan Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, yang masing-masing bakal mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan (Sejarah) di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.
Usaha tersebut diteruskan pada hari ini apabila delegasi USM menyantuni Muhammad Shafiq Iskandar Bin Musa, yang bakal memulakan pengajian dalam program Farmasi di Pusat Pengajian Sains Farmasi.
Ketiga-tiga mereka membawa satu persamaan yang cukup bermakna – menjadi anak sulung dan antara harapan terbesar keluarga untuk membuka lembaran baharu melalui pendidikan tinggi.
Bagi keluarga mereka, kejayaan melangkah ke USM bukan hanya kejayaan seorang anak. Ia adalah permulaan kepada sebuah perubahan yang diharapkan mampu membawa keluarga ke arah kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, kehadiran pasukan USM ke kediaman pelajar bukan sekadar untuk melaksanakan proses saringan, sebaliknya untuk memastikan kebajikan dan kelangsungan pengajian mereka diberikan perhatian sejak awal.

“Kehadiran kami bukan sekadar membawa khabar gembira. Kami mahu memastikan pemilihan, kebajikan dan kelangsungan pengajian anak-anak SISWA SULUNG ini terus terpelihara sejak hari pertama mereka melangkah masuk ke USM.
“Apabila seorang anak daripada sesebuah keluarga berjaya menjejakkan kaki ke universiti, kita bukan sahaja sedang membantu seorang mahasiswa mendapatkan pendidikan, tetapi sedang membuka ruang kepada sebuah keluarga untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor USM, YBhg. Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menegaskan bahawa aspek kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi antara keutamaan universiti, khususnya dalam memastikan faktor kewangan dan latar belakang keluarga tidak menjadi penghalang kepada pelajar untuk meneruskan pengajian.
“Bagi USM, setiap pelajar yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian membawa bersama harapan yang besar, bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk
keluarga. Justeru, menjadi tanggungjawab universiti untuk memastikan mereka mendapat sokongan dan bantuan yang sewajarnya sepanjang berada di USM.
“Kita tidak mahu ada pelajar yang terpaksa melupakan impian atau berasa keseorangan hanya kerana kekangan kewangan dan keadaan keluarga. Sebab itu aspek kebajikan perlu diberikan perhatian sejak sebelum mereka mendaftar, ketika mereka berada di kampus, sehinggalah mereka berjaya menamatkan pengajian,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang menerusi Program Pembangunan SISWA SULUNG membolehkan Universiti memahami sendiri realiti kehidupan pelajar dan keluarga, sekali gus memastikan bentuk bantuan serta intervensi yang disediakan benar-benar menepati keperluan.
“Kita bukan sekadar mahu membawa mereka masuk ke universiti. Kita mahu menjaga mereka, membimbing mereka dan memastikan mereka mempunyai peluang yang terbaik untuk berjaya.
“Apabila seorang anak daripada sebuah keluarga berjaya mengubah kehidupannya melalui pendidikan, kesannya bukan kepada dirinya sahaja. Insya-Allah, kejayaan itu akan turut mengangkat keluarga dan akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Pelaksanaan Program Pembangunan SISWA SULUNG turut mendapat sokongan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, bersama Encik Akmal Zharif Bin Ahmad Kamal, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, dan Dr. Norazli Md Daud, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan Tinggi, dalam usaha memastikan akses kepada pendidikan tinggi terus diperkasa, khususnya kepada pelajar yang menjadi generasi pertama keluarga melanjutkan pengajian ke universiti.
Menerusi inisiatif ini, pelajar yang terpilih menerima pengecualian yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian, tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang ditetapkan. Kemudahan tersebut dapat mengurangkan beban kewangan keluarga secara signifikan dan membolehkan pelajar memberikan tumpuan kepada kecemerlangan akademik serta pembangunan diri.
Pelajar hanya perlu menanggung komitmen tertentu termasuk yuran desasiswa atau penginapan, sekali gus memberi ruang kepada keluarga untuk menguruskan perbelanjaan pendidikan anak-anak dengan lebih baik.
Namun, Program Pembangunan SISWA SULUNG bukan sekadar mengenai bantuan kewangan. USM turut memberikan perhatian kepada aspek pemantauan akademik, bimbingan kerjaya serta pembentukan jati diri mahasiswa yang seimbang dan holistik menerusi program HEBAT yang berteraskan konsep J.E.R.I.S – Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial.
Pendekatan ini penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja berjaya memperoleh ijazah, malah dibentuk menjadi graduan yang berdaya tahan, berkeyakinan dan bersedia untuk kembali menyumbang kepada keluarga serta masyarakat.
Hari ini, langkah Nurul Atiqah, Muhammad Adam dan Muhammad Shafiq mungkin baru bermula. Namun, di sebalik langkah kecil mereka memasuki alam universiti, tersimpan sebuah harapan yang jauh lebih besar – menjadi insan pertama dalam keluarga yang membuka pintu pendidikan tinggi dan suatu hari nanti pulang membawa perubahan kepada keluarga yang sentiasa berdiri di belakang mereka. Kerana bagi SISWA SULUNG, sebuah kejayaan di universiti bukan sekadar mampu mengubah masa depan seorang mahasiswa – ia berupaya mengubah nasib sebuah keluarga.












