Advertisement

Mencari Rezeki Demi ke UiTM: Ziarah Kasih Prihatin Santuni Nur Nadirah

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

SHAH ALAM, 4 September 2026 – Pelajar baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Nadirah Nuraini Haisudeen telah menerima kunjungan menerusi program Ziarah Kasih Prihatin dan Bantuan Awal Pendidikan Tinggi oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan juga Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak di Seri Manjung, Perak.

Nur Nadirah telah berjaya menerima tawaran mengikuti program Sarjana Muda Perniagaan Pengurusan Perkhidmatan di UiTM Puncak Alam dan dijadualkan untuk melapor diri pada 23 September 2026.

Dr. Mohd Azian Zaidi berbual bersama Nur Nadirah ketika kunjungan Ziarah Kasih Prihatin di CU Mart Seri Manjung.

Kunjungan berkenaan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Haji Mohd Rafiq Mohd, Ahli Majlis Perbandaran Manjung yang mewakili Pejabat Menteri Pendidikan Tinggi, bersama Encik Zulkifli Che Hussin, Pengurus Seksyen Kolaborasi & Strategik, Yayasan Perkasa Siswa.

Hadir mewakili UiTM adalah Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Azian Zaidi yang turut mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, bersama staf Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perak.

Nur Nadirah kini bekerja di CU Mart Seri Manjung sementara menunggu untuk memulakan pengajian. Beliau melahirkan rasa syukur dan gembira atas kunjungan serta bantuan yang diterima, selain merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YPS dan juga UiTM.

Datuk Haji Mohd Rafiq Mohd bersama-sama Encik Zulkifli Che Hussin, berbual bersama Nur Nadirah ketika kunjungan Ziarah Kasih Prihatin di tempat kerjanya di CU Mart Seri Manjung.