SINTOK: Malam Apresiasi Seni (MASENI) menjadi pentas pelajar baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) menyerlahkan bakat dalam bidang seni dan budaya, sekali gus menjadi acara penutup Minggu Suaikenal (MSK) Semester A261.
MASENI yang diadakan setiap tahun sempena MSK menampilkan gabungan pelajar daripada dua Inapan Siswa (Inasis) menerusi pelbagai persembahan termasuk tarian, lakonan dan nyanyian.


Program itu bukan sahaja mencungkil bakat di atas pentas, malah membuka ruang kepada pelajar baharu menyerlahkan potensi dalam bidang pengacaraan majlis serta pengurusan pentas dan persembahan.
Kemeriahan MASENI turut diserikan dengan persembahan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara yang mengetengahkan keunikan seni dan budaya masing-masing.
Hadir memeriahkan MASENI ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, bersama Ketua-Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), barisan Pengetua Inapan Siswa (Inasis) serta Pengarah UUM Information Technology (UUMIT).

Penganjuran MASENI menjadi wadah memperkukuh kreativiti, kerjasama dan interaksi budaya dalam kalangan mahasiswa sebelum tirai MSK Semester A261 dilabuhkan dan pelajar baharu memulakan kehidupan sebagai warga UUM.
Berita dan gambar oleh: Muhammad Hafizal Faiz bin Suhaime












