Advertisement

MARS 2025 Angkat Kecemerlangan Mahasiswa dan Alumni UMPSA

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Gambang, 10 Jun – Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UMPSA telah menganjurkan Majlis Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 sebagai platform penghargaan kepada mahasiswa yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang sepanjang tahun.

Majlis berprestij ini meraikan seramai 31 penerima anugerah yang terdiri daripada individu dan kumpulan yang telah mengharumkan nama universiti melalui kecemerlangan dalam aspek kepimpinan, inovasi, sukan, keusahawanan serta kesukarelawanan.

Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; Prof. Dr. Yatimah Alias, Naib Canselor UMPSA; Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni); serta barisan pengurusan kanan universiti.

Penganugerahan tahun ini turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Ikon Inspirasi Pembelajaran Sepanjang Hayat UMPSA Advanced kepada alumni yang telah membuktikan kecemerlangan dalam kerjaya dan memberikan impak positif kepada masyarakat.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen UMPSA dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta melahirkan graduan yang terus menyumbang kepada pembangunan negara dan komuniti.

Selain itu, penghargaan khas turut diberikan kepada rakan kolaborasi strategik industri dan fakulti yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan melalui pelbagai inisiatif pembangunan bakat, latihan dan kerjaya.

Pada malam penuh gemilang itu, Nurin Izzatie Rahamdan telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mercu Sanjung UMPSA bagi kategori individu, manakala Sukarelawan Yayasan UMPSA menerima anugerah bagi kategori berpasukan.

Kedua-dua penerima membawa pulang piala pusingan, trofi, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM1,000.00 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi dan sumbangan mereka kepada universiti.

Tahniah kepada semua penerima anugerah dan pihak yang terlibat dalam menjayakan MARS 2025.

Kredit Foto : Ahmad Fawwaz Bin Mohd Mashkuri & Pusat Komunikasi Korporat