Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi
MERU, 17 Mei – Program Mahasiswa Negara KPT – Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Zon Tengah Siri 1 melabuhkan tirainya dengan jayanya selepas berlangsung selama tiga hari dua malam di Pusat Latihan Kenegaraan (PLK) Meru, Selangor.

Gambar 1: 111 orang mahasiswa dari 6 universiti awam menjayakan kursus
Program yang menghimpunkan seramai 111 orang peserta terdiri daripada 59 mahasiswi dan 52 mahasiswa itu melibatkan penyertaan pelajar daripada universiti-universiti awam Zon Tengah iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Majlis Perasmian Penutup program telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Gambar 2: Profesor Dr. Sazili menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian penutup kursus
Dalam ucapan beliau, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk fasilitator, jurulatih serta urus setia program yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang tiga hari penganjuran.
Beliau turut menyeru para peserta agar menghargai pengalaman yang diperoleh sepanjang program, khususnya apabila berjaya keluar daripada zon selesa dan menamatkan keseluruhan modul yang disediakan termasuk modul survival yang memerlukan peserta bermalam di dalam khemah serta beradaptasi dengan suasana latihan yang mencabar.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berkaitan teras dan hala tuju Malaysia MADANI menerusi slot ceramah, kuiz interaktif Kahoot!, aktiviti Interaktif Kenegaraan (Explorace), aktiviti tali tinggi, merentas hutan serta outdoor cooking yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.

Gambar 3: Peserta diberikan penerangan melalui pelbagai aktiviti menarik
Menurut beliau, pendekatan program yang menggabungkan elemen ilmu, kepimpinan, patriotisme dan cabaran fizikal mampu membentuk mahasiswa yang lebih berdaya tahan, berkeyakinan dan mempunyai jati diri yang tinggi.
“Program ini bukan sahaja membenihkan semangat patriotisme dalam jiwa mahasiswa, malah secara tidak langsung memberi ruang kepada saudara dan saudari untuk meraikan kepelbagaian yang wujud antara universiti dan juga dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, berbeza latar belakang serta taraf kehidupan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa program tersebut selaras dengan amanat YB Menteri Pendidikan Tinggi Tahun 2026 menerusi Fokus 2: Peranan Akademia sebagai Pembina Negara (Nation Builders) dan Fokus 3: Kebajikan dan Kemenjadian Mahasiswa.
Tambah beliau, mahasiswa merupakan agen perubahan dan perpaduan yang penting dalam masyarakat serta berupaya mengubah polemik negatif kepada sesuatu yang lebih positif melalui semangat toleransi, keharmonian dan perpaduan nasional.
Katanya lagi, semangat kebersamaan yang dipupuk sepanjang program perlu diteruskan apabila para peserta kembali ke universiti masing-masing agar nilai perpaduan, integriti dan kepimpinan dapat terus disemai dalam kalangan mahasiswa.
Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian penghargaan, penyempurnaan perasmian penutupan program serta sesi bergambar bersama para peserta dan urus setia.
Turut hadir ialah Encik Mohd Khairulna’im Abu Samah selaku Penolong Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Selangor merangkap penyelaras program serta Encik Mohammad Faez Ne’man, wakil Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Malaysia yang juga Pegawai Eksekutif di Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM.
Program Mahasiswa Negara KPT – Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI merupakan inisiatif anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri dan Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM) bagi memperkukuh semangat patriotisme, kepimpinan dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi negara.











