oleh: Nurul Nazirah binti Ruhaizat
TANJONG MALIM, 10 September 2026 – Langkah pertama menjejakkan kaki di Semenanjung Malaysia kini menjadi satu lipatan kenangan manis buat mahasiswa baharu dari Sabah dan Sarawak. Ketibaan mereka sempena kemasukan Ijazah Sarjana Muda Ambilan 1, Sesi 2026/2027 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut mesra oleh barisan sukarelawan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sambutan hangat ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan UPSI terhadap anak-anak Borneo, malah memastikan kebajikan, keselesaan, dan logistik mereka terjaga seawal detik pertama mendarat. Bagi sesi ini, UPSI berbangga menerima seramai 4,800 mahasiswa baharu peringkat Ijazah Sarjana Muda yang bakal memulakan perjalanan akademik mereka.
Bagi memastikan pergerakan berjalan lancar, pengurusan UPSI melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEP&A), serta kolej-kolej kediaman telah mengatur persediaan rapi.

Seramai 194 orang sukarelawan mahasiswa digerakkan di lapangan untuk menguruskan ketibaan dan membantu keperluan mahasiswa baharu, bermula dari KLIA hinggalah sepanjang pelaksanaan Minggu Interaksi dan Intelektual Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA DEGREE A261).
Pengarah MILLENIA, Muhammad Luqman Nurhakim Zulikhsyam menekankan bahawa inisiatif ini dirangka khas untuk memberikan sokongan moral dan keselesaan penuh kepada para pelajar baharu:

“Inisiatif penyambutan di KLIA dan bimbingan sepanjang program MILLENIA ini adalah komitmen berterusan kami untuk memastikan mahasiswa, terutamanya dari Sabah dan Sarawak, merasakan kehangatan sebuah keluarga sejak dari hari pertama. Kami mahu memadamkan rasa asing dan menggantikannya dengan semangat serta keyakinan untuk memulakan pengajian di UPSI.”ujar beliau.
Komitmen padu para sukarelawan ini membuktikan usaha UPSI dalam mewujudkan suasana penyambutan yang mesra, teratur, dan selamat—khususnya bagi mereka yang pertama kali berjauhan dengan keluarga.
Selamat datang dan selamat menjadi sebahagian daripada keluarga besar Universiti Pendidikan Sultan Idris!












