Advertisement

Kursus 3KM Bentuk Kepimpinan Mahasiswa Berjiwa MADANI

oleh : Netty Muhalizza binti Mohd Fadzil

NEGERI SEMBILAN, 18 Mei – Kursus Kepimpinan Kenegaraan MADANI (3KM) bagi Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2025/2026 serta Presiden Kelab dan Persatuan Pelajar tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Sepri melalui kerjasama strategik antara universiti dan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Gambar 1 : Pelajar menjalankan aktiviti lasak meningkatkan keyakinan.

Program tersebut memberi fokus kepada pembentukan jati diri mahasiswa sebagai pemimpin yang berdaya saing dan mempunyai semangat kenegaraan tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Peserta turut didedahkan dengan nilai tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara selain dipupuk menjadi agen perubahan dalam masyarakat melalui pendekatan latihan yang menyeluruh.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) berkata, “Kursus 3KM ini bukan sekadar platform latihan kepimpinan, malah menjadi medium penting dalam melahirkan mahasiswa yang berprinsip, berintegriti dan mempunyai kesedaran kenegaraan tinggi bagi mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa hadapan negara.”

Beliau berkata, program seumpama itu juga mampu memperkukuh peranan mahasiswa dalam menyumbang kepada pembangunan universiti, masyarakat dan negara secara menyeluruh.

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pengisian berstruktur melibatkan pembentukan disiplin menerusi rutin harian seperti solat berjemaah, senaman pagi dan pengurusan diri.

Aktiviti pembangunan kepimpinan seperti aktiviti lasak, khidmat masyarakat, sukan rakyat dan tugasan berkumpulan turut dilaksanakan bagi menguji daya tahan fizikal, mental dan emosi peserta.

Selain itu, sesi taklimat dan perkongsian ilmu oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) memberi penekanan kepada aspek kepimpinan kendiri, pentadbiran, pengurusan kewangan, integriti serta keupayaan membuat keputusan berlandaskan nilai dan etika.

Pengisian tambahan seperti master chef, kelestarian alam dan aktiviti malam berunsur pembinaan sahsiah turut melengkapkan pembangunan holistik peserta serta memupuk nilai kerjasama, empati dan semangat kekitaan.

.