Advertisement

Kumpulan Kesenian Adikarma USM Raih Naib Juara Rentak Belia Talent Show 2026

Teks/foto: Kumpulan Kesenian ADIKARMA

Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 19 Oktober 2026 – Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia berjaya meraih gelaran Naib Juara dalam kategori Tarian Terbuka pada pertandingan Rentak Belia Talent Show 2026 yang berlangsung di Gurney Plaza, Pulau Pinang baru-baru ini.

Membawakan persembahan bertajuk “JEJAK”, kumpulan tersebut diwakili oleh tiga orang peserta, iaitu Chia Jia Jun, Nur Farisha Izzatie Jasni dan Wan Zulaikha Afifa Wan Zulkifli, yang menampilkan tarian kreatif Melayu dengan mengetengahkan keunikan serta kreativiti seni tari tradisional dalam persembahan yang tersendiri.

Persiapan persembahan mereka dibimbing oleh Encik Ahmad Assahirin Hamlet dari Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, yang bertindak sebagai koreografer bagi memastikan persembahan kumpulan tersebut dapat diketengahkan dengan berkesan.

Pertandingan yang menghimpunkan seramai 15 peserta finalis itu turut dihadiri oleh YB Daniel Gooi Zi Sen, EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang serta Encik Edry Faizal Eddy Yusof, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dalam majlis penutup.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan mahasiswa USM dalam mengembangkan bakat seni persembahan, di samping memperkukuh penglibatan mereka dalam bidang seni dan kebudayaan, disamping menjadi pemangkin kepada Kumpulan Kesenian Adikarma untuk terus melakar kejayaan.

Total Views: 31