14 Mei 2026 | Pontian, Johor
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda pendidikan kemahiran negara melalui pembinaan Kolej Komuniti (KK) Pontian yang bakal menjadi pemangkin baharu pembangunan pendidikan dan ekonomi setempat. Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah projek tersebut di Kompleks Penghulu Mukim Benut, pagi tadi.
Projek pembinaan bernilai RM70 juta itu akan dibangunkan di atas tanah seluas lapan ekar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2028 atau 2029. Kolej komuniti berkenaan akan menawarkan program Sijil Agroteknologi dan Sijil Teknologi Pertanian Lestari yang selari dengan kekuatan sektor pertanian serta keperluan industri di daerah Pontian.
Selain program sijil sepenuh masa yang menyasarkan kemasukan 200 pelajar, KK Pontian turut memperkukuh pelaksanaan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi memberi manfaat kepada komuniti setempat. Program tersebut akan mula dilaksanakan seawal dua minggu lagi dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada di Kompleks Penghulu Mukim Benut.
Penduduk sekitar bakal mengikuti pelbagai latihan kemahiran seperti keusahawanan, jahitan, masakan dan kemahiran teknikal asas tanpa perlu menunggu kampus baharu siap sepenuhnya. Inisiatif ini membuktikan komitmen KPT dalam memastikan akses pendidikan kemahiran yang inklusif, berkualiti dan relevan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut menegaskan bahawa setiap pelajar mempunyai potensi tersendiri dan kerajaan bertanggungjawab menyediakan akses pendidikan yang adil serta bermakna. Beliau turut menyatakan peningkatan permohonan TVET menunjukkan kesedaran masyarakat semakin tinggi terhadap pendidikan berasaskan kemahiran yang mampu membuka peluang kerjaya lebih luas dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Pada masa sama, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan, berkata pembinaan kolej komuniti tersebut amat dinantikan oleh penduduk setempat kerana diyakini mampu menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan di daerah Pontian.
Turut hadir, ADUN Benut, Datuk Ir. Haji Hasni Mohammad; ADUN Pulai Sebatang, Hajah Hasrunizah Hassan; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Pegawai Daerah Pontian, Haji Kamaluddin Haji Jamal.












