oleh : Mohd Raizol Ramli
TANJONG MALIM, 11 September — Suasana Kampus Sultan Azlan Shah bakal kembali bergema dan meriah apabila Kolej Awang Had Salleh (KAHS) mengesahkan kesiapsiagaan penuh bagi menyambut kehadiran seramai 1,482 pelajar baharu untuk kemasukan Sesi Akademik Semester A261.

Sebagai pembuka tirai, pihak kolej telah pun menerima ketibaan awal 6 orang pelajar dari Borneo pada 10 September lalu bagi memudahkan pergerakan serta urusan pendaftaran mereka. Manakala, sesi pendaftaran rasmi bagi keseluruhan kolej kediaman bakal berlangsung secara berperingkat selama tiga hari bermula 12 hingga 14 September 2026.
Mengikut statistik kemasukan semester ini, pendaftaran didominasi oleh 1,038 pelajar wanita dan 448 pelajar lelaki.

Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana binti Ismail menzahirkan rasa keterujaan dan persediaan rapi warga kolej dalam menerima warga baharu ini.
“Kami di barisan pengurusan KAHS sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang kondusif, selamat, dan mesra buat semua anak-anak baharu ini. Kehadiran mereka bukan sekadar mengisi bilik kediaman, malah menyuntik tenaga dan semangat baharu buat seluruh warga kolej. Selamat datang ke rumah kedua anda, dan marilah kita bersama-sama mengukir kenangan serta kecemerlangan akademik di sini,” kata beliau.

Bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar, pihak pengurusan KAHS bersama barisan Jawatankuasa Penyelaras Kediaman Kolej (JPKK) dan para sukarelawan telah menggembleng tenaga membuat persediaan dari pelbagai aspek:
- Fasiliti & Penginapan: Penyediaan kemudahan bilik kediaman serta ruang sokongan yang selesa.
- Logistik & Trafik: Kawalan lalu lintas yang teratur di sekitar kawasan kolej bagi memudahkan pergerakan kenderaan ibu bapa.
- Pengurusan Kaunter: Proses pendaftaran pantas dan sistematik bagi mengelakkan kesesakan.

Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada semua mahasiswa baharu Semester A261!












