Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 9 Ogos 2026 : Universiti Sains Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila bertindak sebagai tuan rumah bagi menghimpunkan hampir 2,000 peserta menerusi Kejohanan Wajadiri Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) IPT & Jemputan Kali Ke-11 (KWD 11) di Arena Sukan Azman Hashim USM.
Kejohanan berprestij selama dua hari itu menyaksikan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan IPT bagi kategori Putera, manakala Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) unggul sebagai Juara Keseluruhan IPT bagi kategori Puteri. Bagi kategori Cawangan negeri pula, kontinjen Terengganu merangkul gelaran Juara Keseluruhan.
Penganjuran edisi kali ini melibatkan 42 pasukan merangkumi 15 pasukan IPT Putera, 13 pasukan IPT Puteri dan 14 pasukan cawangan negeri. Ia disertai oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi, ahli cawangan PSSCM, alumni serta penyokong sebagai usaha berterusan memelihara seni warisan bangsa melalui penghayatan disiplin, keberanian, kepimpinan dan semangat patriotisme.
Majlis perasmian dan penutupan kejohanan turut menyerlahkan sokongan kepimpinan tertinggi PSSCM, termasuk kehadiran Guru Utama dan Presiden PSSCM, Datuk Haji Maideen Kadir Shah; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Yang Dipertua PSSCMCPP merangkap Naib Presiden 1 PSSCM, Ar. Dr. Haji Ab Majid Ismail; serta Pengarah Projek merangkap Yang Dipertua PSSCMUSM, Ahmad Ammar Ahmad Hilmi dan tetamu jemputan kenamaan lain.




Menurut Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar, seni bela diri merupakan wahana strategik dalam membentuk mahasiswa berjati diri unggul serta melahirkan graduan seimbang dari aspek intelek, emosi dan jasmani.
Sementara itu, Datuk Haji Maideen dalam ucapannya mengimbas sejarah kegemilangan PSSCM yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad pada 1965 dengan hanya 14 kelas latihan, sebelum berkembang pesat kepada 150 kelas latihan di seluruh negara pada hari ini di bawah naungan Penaung Seumur Hidup, Kebawah Duli Yang Maha Milia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah.
Sementara itu, Datuk Haji Maideen dalam ucapannya mengimbas sejarah kegemilangan PSSCM yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad pada 1965 dengan hanya 14 kelas latihan, sebelum berkembang pesat kepada 150 kelas latihan di seluruh negara pada hari ini di bawah naungan Penaung Seumur Hidup, Kebawah Duli Yang Maha Milia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah.
Penganjuran KWD 11 turut diserikan dengan Sambutan 50 Tahun Jubli Emas PSSCMUSM dan Prapelancaran Jubli Emas PSSCM Cawangan Pulau Pinang.
Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Mejar Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim menegaskan bahawa kelestarian warisan budaya amat bergantung kepada kesungguhan generasi masa kini untuk mengangkatnya sebagai aset berharga.
Bersempena majlis penutup tersebut, pihak penganjur mengumumkan dua perancangan strategik masa hadapan persatuan iaitu Kejohanan Wajadiri Kali Ke-12 (2028) yang akan diadakankan di Negeri Perak, serta Peluncuran KWD Tunas & Remaja 2026 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan pada 30 dan 31 Oktober 2026.



Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di https://hepa.usm.my/












