Advertisement

Karnival UTMPEARL 2026 Perkukuh Jalinan Industri dan Impak Kebolehpasaran Graduan

Oleh Nazratul Hazirah binti Rushdan

Johor Bahru, 15 April 2026 – Majlis Perasmian Karnival UTM Premium Career Festival (UTMPearl) 2026 telah berlangsung dengan jayanya sebagai simbolik pembukaan salah satu program kerjaya utama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menghimpunkan pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa dalam usaha memperkukuh pembangunan kerjaya mahasiswa serta graduan universiti.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat dan turut dihadiri oleh rakan industri, wakil organisasi, alumni serta warga universiti. Program anjuran UTM Career Centre dengan kerjasama Talentbank ini menjadi platform penting dalam membuka peluang kerjaya, jaringan profesional serta pendedahan kepada kehendak dan trend industri semasa.

Gambar 1: Jalinan kerjasama Talentbank bersama Universiti Teknologi Malaysia.

Sepanjang penganjuran karnival, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk sesi temu duga terbuka, pameran kerjaya, perkongsian industri dan forum alumni yang memberi inspirasi kepada para peserta dalam merancang hala tuju kerjaya masing-masing. Program ini juga mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan serta membina ekosistem pembangunan bakat yang holistik selaras dengan aspirasi universiti.

Antara pengisian utama yang mendapat perhatian ialah Forum Alumni bertajuk “Kerjaya dan Masa Depan: Peranan & Cabaran” yang menampilkan tiga alumni UTM iaitu Encik Azarol Faizi bin Zakaria Ansari, Dr. Syazliana Astrah binti Mohd Idris dan Ir. Ts. Khairul Shah bin Zainal. Ketiga-tiga panel berkongsi pengalaman, cabaran serta perjalanan kerjaya masing-masing dalam mendepani dunia profesional yang semakin kompetitif dan dinamik.

Perkongsian yang disampaikan memberi penekanan terhadap kepentingan daya tahan, keberanian untuk mencuba serta kesediaan untuk terus belajar dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini. Para peserta turut didedahkan dengan realiti industri dan kepentingan membina kemahiran insaniah, komunikasi serta kebolehan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi pekerjaan.

“UTMPearl bukan sekadar platform pencarian pekerjaan, tetapi medan pembangunan potensi mahasiswa untuk menjadi graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri global,” ujar Prof. Ts. Dr. Ali Selamat.

“Gagal itu biasa, bangkit itu pilihan. Setiap cabaran yang ditempuhi merupakan proses pembelajaran yang membentuk kekuatan dan kematangan dalam perjalanan kerjaya,” antara intipati perkongsian yang disampaikan dalam forum alumni tersebut.

Karnival UTMPearl 2026 diharapkan terus menjadi platform strategik dalam merapatkan hubungan antara universiti dan industri, seterusnya memperkasakan pembangunan kerjaya mahasiswa dan graduan UTM ke arah masa depan yang lebih cemerlang.