Advertisement

INTEGRITI DAN KESELAMATAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA BENTUK PEMIMPIN MASA HADAPAN

oleh : Netty Muhalizza binti Mohd Fadzil

DURIAN TUNGGAL, 4 September 2026 – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan mahasiswa menerusi penganjuran International Young Future Leaders Summit (iFUTURE 2026) peringkat UTeM yang berlangsung di Dewan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), UTeM.

Mengangkat tema “Integrity and Safety: Our Shared Responsibility”, program tersebut menghimpunkan lebih 200 mahasiswa sebagai platform memperkasa kepimpinan generasi muda melalui penerapan nilai integriti, etika, tanggungjawab dan kesedaran terhadap aspek keselamatan.

Majlis perasmian iFUTURE 2026 peringkat UTeM telah disempurnakan oleh Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, yang mewakili YBhg. Datuk Profesor Ts. Dr. Massila binti Kamalrudin, Naib Canselor UTeM.

Dalam ucapan beliau, aspek integriti dan keselamatan dilihat semakin signifikan dalam mendepani dunia yang kompleks serta dipacu oleh perkembangan teknologi yang pesat. Kedua-dua aspek tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai nilai atau prinsip, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu.

Mahasiswa perlu dipersiapkan dengan keupayaan untuk membuat keputusan secara berani dan berhemah, teguh berpegang kepada prinsip serta memahami kesan setiap tindakan terhadap diri, komuniti dan masyarakat. Pendekatan ini penting dalam membentuk generasi pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja berdaya saing, malah mempunyai pertimbangan etika dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial.

Sebagai sebuah universiti teknikal, UTeM komited melahirkan graduan yang bukan sahaja unggul dalam bidang ilmu, teknologi dan inovasi, tetapi turut memiliki jati diri, integriti dan etika yang kukuh. Elemen tersebut menjadi asas penting dalam melahirkan mahasiswa yang mampu memimpin perubahan serta menyumbang secara bermakna di peringkat nasional dan global.

“Integriti membina kepercayaan. Keselamatan memelihara kesejahteraan. Tanggungjawab bersama membentuk pemimpin masa hadapan.”

Penganjuran iFUTURE 2026 turut menjadi wadah strategik dalam memperkukuh keupayaan mahasiswa untuk memahami cabaran kepimpinan masa hadapan serta membina pemikiran yang lebih terbuka, berprinsip dan berpandangan global.

Program tersebut turut memberikan ruang kepada mahasiswa untuk memperkasa kemahiran kepimpinan, membina keyakinan diri serta menghayati kepentingan nilai dan etika dalam setiap aspek kehidupan dan kepimpinan.

UTeM merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM Sesi 2025/2026 serta seluruh jawatankuasa dan pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan iFUTURE 2026 peringkat UTeM.

Penganjuran program ini diharapkan dapat terus menjadi wadah dalam membentuk mahasiswa yang berprinsip, berintegriti, berdaya kepimpinan dan berpandangan global, sekali gus bersedia menggalas amanah sebagai pemimpin masa hadapan di peringkat nasional mahupun global.