Oleh: Prof. Madya Ts Dr. Siti Suhana binti Jamaian, Ts Dr. Aida Safina binti Aridi
Riau, Indonesia, 24–28 Ogos 2026 – Program INSPIRE-FAST 2026 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkasa mahasiswa sebagai agen perubahan melalui aktiviti kesukarelawanan, perkongsian ilmu dan pembangunan komuniti di Riau, Indonesia.
Program anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM ini melibatkan 10 orang mahasiswa bersama dua orang pensyarah pengiring dalam satu inisiatif program kesukarelawanan dan mobiliti antarabangsa yang menggabungkan pendidikan, khidmat komuniti dan pertukaran budaya.
Berlangsung selama lima hari, program ini dilaksanakan menerusi tiga modul utama iaitu SMART, FRESH dan CARES yang dirangka bagi memberi manfaat kepada komuniti setempat serta memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa.
Modul SMART dilaksanakan khusus bersama pelajar sekolah menengah dengan memberi pendedahan kepada kemahiran digital dan penggunaan teknologi secara kreatif dan berkesan dalam pembelajaran.
Menerusi modul ini, mahasiswa FAST berperanan sebagai fasilitator dengan berkongsi pengetahuan serta membimbing pelajar dalam aktiviti pembelajaran berasaskan teknologi.

Modul FRESH pula memberi fokus kepada perkongsian pengetahuan berkaitan pemasaran dan keselamatan makanan, manakala modul CARES menekankan penglibatan komuniti, kesukarelawanan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia.
Pelaksanaan program turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Universitas Abdurrab apabila mahasiswa FAST menyertai aktiviti Kuliah Kerja Nyata (KKN) dan ditempatkan dalam empat kumpulan bersama mahasiswa Universitas Abdurrab di Desa Sungai Pinang.
Antara aktiviti bersama komuniti yang dilaksanakan termasuk gotong-royong membersihkan surau, pertandingan hafazan al-Quran dan azan serta aktiviti interaksi bersama pelajar sekolah dan masyarakat setempat.
Elemen pertukaran budaya turut menjadi pengisian penting apabila mahasiswa FAST memperkenalkan makanan dan permainan tradisional Malaysia seperti nasi lemak, kek lapis Sarawak, ceper dan batu seremban kepada kanak-kanak setempat.
Dalam masa yang sama, mahasiswa berpeluang mengenali keunikan budaya tempatan menerusi pengenalan makanan tradisional Pekanbaru seperti gelapong ngango dan lopek daun bomban.
Perkongsian berkaitan amalan keselamatan makanan turut dilaksanakan, termasuk kaedah penyimpanan makanan yang betul serta teknik mencuci tangan bagi meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan kebersihan dan keselamatan makanan.
Penglibatan mahasiswa secara langsung dalam aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan telah memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna di luar bilik kuliah. Program ini turut membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, pengurusan program serta keupayaan berinteraksi dalam persekitaran silang budaya dan antarabangsa.

Lebih signifikan, INSPIRE-FAST 2026 menjadi platform pemindahan ilmu dua hala apabila mahasiswa bukan sahaja berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan pelajar sekolah serta komuniti, malah turut mempelajari budaya, pengalaman dan amalan masyarakat setempat.
Kerjasama bersama Universitas Abdurrab juga membuka ruang kepada pengukuhan jaringan akademik, kesukarelawanan dan mobiliti mahasiswa antara Malaysia dan Indonesia.
Penganjuran program ini turut mendapat sokongan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pejabat Antarabangsa (IO), UTHM serta pihak penaja, khususnya Faztech Sevices yang menaja pakaian program, banner dan bunting, serta Yayasan Perkasa Siswa (YPS) melalui sumbangan kewangan bagi menjayakan program.
Secara keseluruhannya, INSPIRE-FAST 2026 membuktikan bahawa mahasiswa mampu membawa ilmu dan kemahiran ke peringkat komuniti serta menjadi pemangkin perubahan melalui kesukarelawanan.
Program ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya kesukarelawanan, memperluas pengalaman mobiliti antarabangsa dan melahirkan mahasiswa UTHM yang berdaya saing, berjiwa masyarakat serta mampu memberikan impak positif di peringkat tempatan dan global.













