Advertisement

Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0  Buka Dimensi Baharu Kehidupan Kepada Generasi Muda

oleh : Nurfatini Izzati Binti Shahanand

TANJUNG MALIM, 4 September –  MPP UPSI menganjurkan Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0 yang berlangsung selama 3 hari 2 malam, dari 2 hingga 4 September 2026 dengan Kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Pendidikan Sultan Idris  telah menjadi platform bermakna dalam memberikan pendedahan secara langsung kepada para peserta mengenai kehidupan dan pengalaman sebagai seorang mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini melibatkan seramai 144 orang peserta yang terdiri daripada pelajar SMK Syed Ibrahim, SMK Proton City, SMK Kalumpang dan SMK Dato’ Sri Amar DiRaja. Penyertaan daripada keempat-empat sekolah tersebut memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat suasana kehidupan di institusi pengajian tinggi serta mendapatkan gambaran awal mengenai persediaan yang diperlukan sebelum melangkah ke alam universiti.

 Luqman Nurhakim, Yang Dipertua MPP UPSI memberi taklimat berkaitan kepimpinan

Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0 turut menjadi medium dalam menyemai aspirasi dan motivasi dalam kalangan generasi muda agar lebih bersedia dari segi mental, akademik dan sahsiah sebelum melangkah ke menara gading. Pendedahan awal seperti ini penting bagi membantu pelajar menetapkan hala tuju pendidikan serta membina keyakinan untuk mengejar cita-cita pada masa hadapan.

Lawatan di Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Para peserta turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Muzium Pendidikan Nasional UPSI, sekali gus memberikan pendedahan kepada mereka tentang sejarah perkembangan pendidikan serta peranan UPSI dalam landskap pendidikan negara. Lawatan ini membolehkan para peserta menelusuri pelbagai koleksi, bahan pameran dan khazanah berkaitan pendidikan yang dipamerkan, di samping menambah pengetahuan serta menghayati nilai sejarah dan warisan pendidikan Malaysia.

Menurut Pengarah Nurfatini Izzati ke UPSI 2.0, program ini diharapkan dapat memberikan pendedahan dan pengalaman yang bermakna kepada para peserta tentang kehidupan sebenar di alam universiti. Beliau turut berharap agar pengalaman yang diperoleh sepanjang program dapat membuka minda para peserta untuk mengenali potensi diri, membina keyakinan serta menyemai aspirasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Ucapan aluan daripada Nurfatini Izzati, Pengarah Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0

“Program ini bukan sekadar memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali UPSI, tetapi turut menjadi platform untuk mereka merasai sendiri suasana kehidupan sebagai mahasiswa. Kami berharap pengalaman yang diperoleh dapat menjadi pencetus semangat kepada mereka untuk terus mengejar cita-cita dan berani melangkah lebih jauh dalam pendidikan,” ujar beliau.

Dalam ucapan aluannya,  Muhammad Nafi’ Rezani bin Tahrir, Ketua Penolong Pengarah KPP (BHEP), Seksyen Kesukarelawan dan Khidmat Komuniti mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0. Beliau berharap program yang dilaksanakan dapat memberikan pendedahan awal yang bermanfaat kepada para peserta mengenai kehidupan di alam universiti, di samping menyemai keyakinan dan aspirasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Ucapan perasmian dari, Encik Muhammad Nafi’ Rezani bin Tahrir, Ketua Penolong Pengarah KPP (BHEP), Seksyen Kesukarelawan dan Khidmat Komuniti mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau turut menyeru agar para peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program sebagai persediaan dalam menentukan hala tuju pendidikan dan masa hadapan. Menurut beliau, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, justeru para peserta perlu terus berusaha, berani mencuba serta tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita.

Secara keseluruhannya, Program Inspirasi Varsiti: Selangkah ke UPSI 2.0 telah memberikan pengalaman dan pendedahan yang bermakna kepada para peserta dalam mengenali dengan lebih dekat kehidupan di alam universiti. Program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan keyakinan diri, malah turut menyemai aspirasi serta motivasi dalam kalangan generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Diharapkan pengalaman yang diperoleh dapat menjadi pemangkin kepada para peserta untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan merealisasikan impian untuk melangkah ke menara gading.