Advertisement

Kayap Bukan Sekadar Ruam, Boleh Tinggalkan Sakit Saraf Berpanjangan

Penyakit kayap atau herpes zoster bukan sekadar menyebabkan ruam dan lepuhan yang menyakitkan, malah boleh meninggalkan kesan jangka panjang dalam bentuk sakit saraf berpanjangan walaupun ruam pada kulit telah sembuh.

Keadaan yang dikenali sebagai Postherpetic Neuralgia (PHN) itu berlaku akibat keradangan atau kerosakan saraf selepas virus kayap kembali aktif dalam sistem saraf.

Pakar Anestesiologi dan Perubatan Kesakitan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Mohd. Faeiz Pauzi, berkata virus varicella-zoster yang menyebabkan kayap boleh kembali aktif selepas berada dalam keadaan tidak aktif dalam sistem saraf seseorang.

Menurut beliau, apabila virus tersebut aktif semula, pesakit boleh mengalami ruam, lepuhan serta kesakitan mengikut laluan saraf tertentu.

Bagaimanapun, keradangan atau kerosakan saraf boleh berterusan walaupun ruam telah pulih, sekali gus menyebabkan pesakit mengalami sakit neuropatik untuk tempoh yang panjang. 

Antara simptom PHN termasuk rasa terbakar, mencucuk, kebas atau seperti terkena renjatan elektrik pada kawasan yang pernah mengalami ruam kayap.

Dalam sesetengah keadaan, sentuhan ringan seperti terkena pakaian juga boleh menyebabkan kesakitan yang keterlaluan, dikenali sebagai allodynia. Kesakitan yang berlebihan terhadap rangsangan pula dikenali sebagai hyperalgesia. 

Risiko mengalami PHN lebih tinggi dalam kalangan individu berusia, khususnya mereka yang berumur lebih 50 tahun, selain golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Dr. Mohd. Faeiz turut menegaskan kepentingan mendapatkan rawatan seawal mungkin bagi mengurangkan risiko komplikasi saraf. Ubat antivirus seperti acyclovir boleh diberikan berdasarkan penilaian doktor, terutama apabila pesakit mendapatkan rawatan pada peringkat awal. 

Sementara itu, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Keluarga UniSZA, Dr. Siti Norazlina Juhari, berkata sakit kronik akibat PHN bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal, malah boleh mengganggu tidur, emosi, pekerjaan dan kehidupan sosial pesakit.

Bagi pesakit yang telah mengalami PHN, rawatan khusus untuk sakit saraf boleh digunakan, termasuk ubat seperti gabapentin, pregabalin dan amitriptyline, manakala tampalan lidokain boleh dipertimbangkan bagi kesakitan yang tertumpu pada kawasan tertentu. 

Dalam kes yang lebih sukar dikawal, pesakit boleh dirujuk kepada pakar kesakitan bagi mendapatkan rawatan intervensi seperti suntikan saraf atau pulsed radiofrequency (PRF).

Dr. Siti Norazlina turut menekankan kepentingan sokongan psikologi kerana kesakitan berpanjangan boleh menyebabkan sesetengah pesakit mengalami keresahan, kemurungan serta kehilangan keyakinan diri.

Kesedaran mengenai kayap dan PHN perlu dipertingkatkan dalam masyarakat kerana hilangnya ruam tidak semestinya bermakna semua kesan penyakit telah berakhir.

Tindakan awal, rawatan yang bersesuaian dan langkah pencegahan termasuk vaksinasi herpes zoster bagi individu yang memenuhi syarat adalah antara pendekatan penting bagi mengurangkan risiko sakit saraf berpanjangan akibat kayap. 

Layari pautan untuk membaca lanjut.

Total Views: 3