Advertisement

HEP-UKM Anjur Karnival Katarsis (KARSIS) 2026: Tingkatkan Kesejahteraan Minda dan Ketahanan Emosi Mahasiswa

BANGI — Unit Kaunseling dan Psikologi, Pusat Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (HEP-UKM) dengan kerjasama Urus Setia Pembimbing Rakan Siswa (UPRS) dan Kelab Mahasiswa PEMADAM UKM telah menganjurkan Karnival Katarsis (KARSIS) Kali Ke-3 baru-baru ini.

Program dua hari yang berlangsung di Ruang Santai HEP-UKM, Aras 7, Bangunan PUSANIKA ini dianjurkan khas bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesejahteraan minda serta memperkasa ketahanan emosi dalam kalangan mahasiswa.

Perasmian Karnival Katarsis (KARSIS) 2026 oleh YBrs. Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) disaksikan Pegawai Kanan Universiti.
Ucapan Perasmian Penutupan oleh YBrs. Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar dalam Majlis Perasmian Penutupan.

Pada hari pertama karnival, pelbagai pengisian interaktif disediakan bagi memberi ruang kepada pelajar meneroka emosi dan mengekspresikan diri. Antara tarikan utama termasuklah slot Borak Ilmu bertajuk “Bila Diri Jadi Musuh?” yang menampilkan pakar psikologi terkenal dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohammed Aziz Shah Mohamed Arip (Prof. MAS). Selain itu, para peserta turut disajikan dengan aktiviti Kuiz Kesejahteraan Mental, Pameran Reruai, Sudut Ekspresif Seni, serta Eksplorasi Psikologi di Ruang Katarsis.

Karnival diteruskan pada hari kedua, 28 Oktober 2026, dengan pengisian yang berteraskan tema “Emosi Difahami, Kesejahteraan Mental Diperkasa”. Program dimulakan dengan sesi Podcast Curahan Hati @KARSIS yang memberi platform terbuka kepada mahasiswa untuk berkongsi pengalaman, memahami emosi, dan menghayati penjagaan kesihatan mental.

Seterusnya, program diteruskan dengan Forum Kawan Toksik: Bila Sekadar Cuba, Membawa Padah yang mengupas secara mendalam berkaitan pengaruh rakan sebaya, risiko penyalahgunaan dadah, serta kepentingan membuat keputusan yang bijak dan bertanggungjawab dalam kehidupan kampus.

KARSIS 2026 melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penutupan Rasmi yang disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi, Pengarah HEP-UKM. Turut hadir menjayakan majlis tersebut ialah Dr. Mohd Fadhli Shah Khaidzir, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Inklusif) HEP-UKM merangkap Pengerusi Karnival Katarsis, serta Encik Aizam Abu Bakar, Ketua HEPA UKM.

Dalam ucapan perasmian penutupannya, Dr. Darfizzi menegaskan komitmen berterusan pihak universiti dalam mengutamakan kebajikan emosi dan minda warga kampus.

“HEP-UKM sentiasa memberi sokongan penuh terhadap apa jua program yang berteraskan kesihatan mental pelajar. Saya percaya penganjuran Karnival Katarsis ini mampu menjadi pemangkin utama dalam menyemai kesedaran, membina ketahanan emosi, serta memupuk budaya saling menyokong dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Penganjuran program ini membuktikan usaha berterusan HEP-UKM dalam menyediakan sistem sokongan kesihatan mental yang kukuh demi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan kesejahteraan jiwa.

Sesi perkongsian oleh Pegawai Psikologi di Platform Media Sosial
Sudut Ekspresif Seni
Prof. Dr. Mohammed Aziz Shah Mohamed Arip melawat ke Ruang Katarsis, HEP-UKM
Reruai kelab/persatuan di bawah naungan Unit Kaunseling, HEP-UKM dan agensi kerajaan

Total Views: 12