Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 4 September 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Advance Retro Solution Sdn. Bhd., Ai Labs Sdn. Bhd. dan Neonate Clothing dalam usaha memperluas kerjasama dalam bidang keusahawanan, pembangunan mahasiswa dan hubungan industri.
Majlis menandatangani dan pertukaran MoU yang berlangsung di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam itu melibatkan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) sebagai peneraju kerjasama bagi pihak universiti.
UiTM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi dan juga Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) UiTM, Prof. Madya Dr. Badrul Isa dalam sesi menandatangani MoU bersama wakil keempat-empat organisasi berkenaan.
INSKEN diwakili oleh Datuk Mustaffa Kamil Ayub yang diiringi Encik Fais Azlan Che Hamzah, manakala Advance Retro Solution Sdn. Bhd. diwakili Datuk Lai Kim Wa bersama Encik David Leow.


Ai Labs Sdn. Bhd. pula diwakili Encik Lim Meng Thong yang diiringi Puan Sim See Hoay, sementara Neonate Clothing diwakili Encik Khairul Shafe Ibrahim bersama Encik Muhammad Amirul Mizan Mohd Rashidin.


Kerjasama tersebut membuka ruang kepada pembangunan program dan aktiviti bersama antara UiTM dengan rakan industri, khususnya dalam bidang keusahawanan, pembangunan mahasiswa dan hubungan industri.
Menerusi kerjasama berkenaan, mahasiswa berpeluang memperolehi pendedahan industri, pengalaman keusahawanan dan jaringan profesional melalui kolaborasi yang bakal dilaksanakan bersama rakan industri terlibat.












