Oleh: Mohd Rizal Nordin
SHAH ALAM, 15 Mei – Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus komited dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian secara menyeluruh selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa yang holistik, seimbang dan berdaya saing.

Gambar 1 : Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi berinteraksi bersama Majlis Perwakilan Pelajar
Dalam suasana ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup serta harga barangan keperluan harian, HEP sentiasa cakna terhadap pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi mahasiswa.
Pelbagai pandangan, suara dan keluhan pelajar sentiasa diambil perhatian bagi memastikan setiap perancangan serta inisiatif yang dilaksanakan benar-benar menyentuh keperluan mahasiswa di peringkat akar umbi.
Bagi memperkukuh agenda kesejahteraan pelajar, HEP telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi fokus kepada aspek kebajikan, bantuan makanan, pembangunan mahasiswa, kemudahan pelajar serta keseimbangan kehidupan kampus.
Antara inisiatif yang terus diperkasakan termasuk pelaksanaan Dapur Siswa MADANI, PitStop HEP, Tabung Kasih Siswa, bantuan kebajikan pelajar, program kesejahteraan mental serta pelbagai pendekatan sokongan yang membantu mengurangkan beban mahasiswa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi berkata, HEP sentiasa berusaha memastikan setiap mahasiswa mendapat perhatian sewajarnya khususnya dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan sepanjang tempoh pengajian mereka di UiTM.
“HEP sentiasa komited untuk mendengar, memahami dan bertindak terhadap keperluan mahasiswa. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, kita mahu memastikan mahasiswa terus mendapat sokongan sewajarnya agar mereka dapat menjalani kehidupan kampus dengan lebih selesa, kondusif dan sejahtera,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan yang diambil bukan sahaja tertumpu kepada bantuan berbentuk fizikal dan kewangan, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah, kesejahteraan emosi serta pembentukan ekosistem kampus yang lebih mesra pelajar.
Menurut beliau lagi, HEP juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), fakulti serta seluruh warga kampus bagi memastikan suara mahasiswa dapat disalurkan dengan lebih efektif dan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Komitmen ini membuktikan bahawa HEP terus memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dan pemangkin kesejahteraan mahasiswa, selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keseimbangan dari aspek kepimpinan, kebajikan dan kesejahteraan hidup.












